Selasa, 13 Julai 2010

Cabaran Golongan Muda Negara - Oleh Presiden ADAM


Akhir-akhir ini, kerap kali saya dipanggil untuk berceramah di dalam beberapa slot motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah yang bakal menghadapi peperiksaan. Kerisauan jelas terpancar di wajah mereka. Tetapi apa sebenarnya yang sepatutnya dirisaukan? Apakah keputusannya nanti? Atau apakah cabaran yang bakal tiba sebaik selepas peperiksaan itu berakhir?
.
Saya suka sekali untuk mengingatkan golongan muda hari ini ini betapa, utuk berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks sekaligus membina sebuah tamadun baru sebagai masyarakat pencipta, golongan pelajar (atau seringkali disebut sebagai belia) harus menguasai ilmu dan kemahiran kerana negara kita ini telah pun masuk ke zaman k-ekonomi di mana kunci kepada kecemerlangan itu adalah tenaga kerja mahir, berdaya cipta dan memiliki kemahiran kognitif tahap tinggi bagi menyokong kemahiran asas. Kalau dulu golongan pelajar yang memasuki universiti boleh dianggap berjaya tetapi kini mereka yang berkelulusan ijazah pertama belum tentu mempunyai masa depan yang cerah, apatah lagi jika berkelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
.
Oleh itu, golongan pelajar pada hari ini perlu menghayati konsep pendidikan sepanjang hayat, manakala pelajar yang berkelulusan SPM perlu mengikuti kursus kemahiran supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Kita tidak mahu Malaysia tergolong dalam golongan pengguna sahaja kerana kita mahu meletakkan negara di barisan hadapan sebagai negara pencipta yang inovatif.
.
Untuk bersaing dalam zaman k-ekonomi, golongan pelajar tidak mempunyai pilihan lain selain berusaha melalui pendekatan latihan formal mahupun tidak formal untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang berkaitan. Golongan pelajar hari ini harus memiliki kekuatan dan ketahanan diri bertunjangkan semangat patriotisme yang tinggi dan kekukuhan jatidiri.
.
Selain itu, golongan pelajar hari ini perlu tahu membuat persiapan untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks seperti fasih dalam pelbagai bahasa. Bagi membolehkan golongan pelajar bergerak daripada keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Mereka perlu bangun dengan semangat baru berbekalkan iltizam untuk mencapai kecemerlangan. Mereka perlu mahir dalam apa jua bidang supaya mampu bersaing di peringkat global.
.
Golongan pelajar yang saya maksudkan di sini bukan hanya buat pelajar sekolah tetapi juga buat mereka yang sedang menuntut di mana-mana pusat pengajian mahupun yang telah bergelar 'graduan'.
.
Selaras dengan penumpuan yang diberikan terhadap generasi muda oleh kepimpinan tinggi negara, golongan muda negara ini harus menjadi golongan yang berkualiti iaitu suatu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan ini tidak terhad atau tetap pada suatu tahap. Ia tidak statik. Ia bergerak sepanjang masa.
.
Justeru, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita kejar, kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih, yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan mencapai kualiti baru yang menjadi matlamat kita, sekali lagi kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih baik daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan itu, usaha kita berterusan dan tidak ada hadnya dan kita perlu mengejar kualiti sepanjang masa. Aspek utama yang perlu ada membina kualiti ini ialah ilmu pengetahuan dan kemahiran. Hanya dengan ilmu dan kemahiran sahaja kualiti dapat dibina.
.
Dalam era ledakan informasi dan ilmu pengetahuan, kita boleh dengan mudah dan tanpa kita sedari menjadi tidak berkesan. Mereka yang complacent akan menjadi tidak relevan. Dalam hubungan ini, golongan muda negara ini tidak rekecuali daripada sindrom tersebut. Golongan muda harus mempunyai minda metropolitan yakni minda yang terbuka luas, yang mampu memahami dan menangani perubahan serta sanggup berubah mengikut keadaan persekitaran.
.
Mereka yang berminda metropolitan sentiasa berusaha mencipta kemahiran dan selalu memikirkan langkah-langkah untuk memaju dan mempertingkatkan kecemerlangan masayarakat dan negara dan bukan untuk diri sendiri semata-mata.
.
Golongan muda hendaklah sentiasa mencintai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Usaha penambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu dijadikan satu usaha berterusan. Misalnya, ilmu pengetahuan membolehkan kita menganalisis data dan maklumat ke arah peningkatan kemahiran dan kualiti. Dengan kemahiran ini, mereka boleh menggubal dan memperakukan dasar, startegi, program dan projek yang praktikal yang tentunya dapat membantu kecemerlangan masyarakat dan negara.
.
Kita sudah sekian lama mengecapi nikmat kemerdekaan, proses pembinaan negara bangsa masih dibangunkembangkan. Generasi muda hari ini adalah penerus tamadun negara kita. Dalam semua tamadun sebelum ini, kehancurannya bermula dengan keadaan politik yang tidak stabil, kurang kemahiran, lemah sahsiah, etika hidup dan keruntuhan akhlak serta moral.
.
Oleh itu, generasi muda harus menjadikan ini sebagai iktibar. Insafilah sejarah keruntuhan tamadun lalu, berkecainya tamadun Mesopotamia dan Sumeria di Sungai Tigris dan Euphrates misalnya. Kenangilah sejarah kejatuhan Melaka dan empayar Melayu terakhir kerajaan Johor-Riau-Lingga. Semoga generasi muda mampu muncul sebagai satu generasi pencipta dan membina sebuah tamdun baru sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negara kita.
.
Golongan muda negara ini harus kembali kepada sejarah kegemilangan umat Islam yang bermula pada era pemerintahan Islam di Madinah dan berkembang pesat pada zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, Bani Umaiyyah dan Bani Abasiyah.
.
Kemudian ia bertapak di benua Eropah yang menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam di Andalusia. Ketamadunan Islam yang berbentuk universal membawa manfaat dan rahmat kepada seluruh umat dan alam. Tamadun inilah yang perlu dicipta semula dan tidak mustahil akan dicapai sekiranya ilmu dan kemahiran digandingkan bersama secara mantap dan berterusan.
.
Generasi muda hari ini juga harus sedar bahawa ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan untuk membudaya dan memanfaatkannya. Natijah daripada pembangunan dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan inteltualisme, pemikiran kritis, pembangunan akhlak kemantapan kemahiran dan budaya hidup yang akan menjadi cerminan untuk melahirkan generasi yang mampu membina tamadun khaira ummah!
.
Tentang kepentingan ilmu dalam pembinaan kualiti manusia Kung Fu Tze pernah berkata bahawa "human-heartedness is the highest virtue an individual can attain and this is the ultimate goal of knowledge and education. The education of an individual is a preparation for a peacefully ordered society."
.
Tdak dapat dinafikan, persaingan dalam era teknologi maklumat dan pasaran global, menjadikan cabaran yang bakal kita hadapi menjadi lebih hebat. Hanya yang mahir dan terbaik akan terus kekal dan relevan pada masa kini dan akan datang. Individu atau generasi yang tidak berusaha untuk berubah dan cuba memperbaiki dan memantapkan kemahirannya selaras dengan peredaran zaman akan ketinggalan dan pupus. Banyak contoh yang sering kita baca dan dengar mengenai empayar-empayar yang besar dan tersohor sebelum ini, telah hilang dari ingatan kita kerana mereka tidak cuba berubah dan memenuhi kehendak semasa.
.
Dalam usaha untuk terus kekal bersaing, cemerlang dan relevan pada setiap masa, perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana setiap negara melakukan pelbagai usaha untuk berada di barisan hadapan dalam bidang kepakaran dan kekuatan masing-masing.
.
Sebagai persediaan menghadapi cabaran globalisasi, generasi muda terutamanya perlu mengetahui kedudukan terkini mereka berbanding dengan masyarakat negara lain. Mereka perlu menganalisis kedudukan mereka terutama dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan yang ada. Generasi muda juga perlu melakukan penanda arasan (benchmarking) terhadap pencapaian mereka dengan generasi muda negara lain yang telah berjaya, dan bukan hanya membandingkan pencapaian mereka berdasarkan prestasi mereka yang lepas.
.
Sebagai sebuah negara yang sedang berkembang maju dan telah menetapkan sasarannya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kejayaannya sangat bergantung kepada generasi muda. Generasi muda negara perlu sentiasa bersedia untuk bersaing. Untuk sentiasa berada di hadapan dan berupaya menggarap kecemerlangan, generasi muda hendaklah mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada pihak yang sentiasa berurusan dengan mereka. Dalam soal ini, aspek kemahiran merupakan antara perkara yang perlu dimantapkan dalam setiap individu. Hanya dengan kemahiran sahaja mereka berupaya mencipta kecemerlangan yang sebenarnya.
.
Peter F. Drucker, seorang personaliti yang terkemuka dalam dunia perniagaan dan akademik berhubung aspek kecemerlangan, pernah menyatakan bahawa "tidak terdapat pertalian yang banyak antara keberkesanan seseorang dengan kecerdikannya, imaginasinya atau ilmu pengetahuannya. Seringkali orang yang pintar dan bergeliga didapati amat tidak berkesan; mereka tidak sedar bahawa kepintaran sahaja bukanlah suatu pencapaian. Ramaijuga yang tidak sedar bahawa kepintaran hanya akan menjadi berkesan apabila diiringi dengan kemahiran, bekerja keras dan secara sistematik."
.
Cabaran pada masa kini adalah sangat hebat, dan ini tidak terkecuali berlaku kepada kita semua. Kebelakangan ini negara menghadapi masalah pengangguran yang tinggi di kalangan mereka yang berijazah. Tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini tidak harus dibebankan kepada kerajaan sahaja. Golongan yang terlibat juga harus mencari jalan bagaimana dapat mengurangkan masalah ini sebelum menjadi lebih serius. Mereka hendaklah belajar bagaimana hendak menjadi orang yang mahir dalam salah satu bidang ilmu itu dengan lebih baik lagi. Ini bererti mereka perlu meningkatkan kemahiran mereka.
.
Selain mempunyai pengetahuan teknikal ataupun hardskills yang mantap dalam bidang masing-masing seperti sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ekonomi, perniagaan, sumber manusia, dan sebagainya, kesemua graduan perlu memiliki kemahiran berbahasa inggeris yang baik, kemahiran berkomunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran memimpin, kemahiran langsung, kemahiran kerja berkumpulan, bersikap positif, disiplin kerja, serta memahami persekitaran dan budaya kerja.
.
Selain itu, seringkali juga kita mendengar dakwaan yang mengatakan bahawa graduan IPTA tempatan kurang berdaya saing berbanding IPT dari luar negara. Walaupun belum ada satu kajian yang menyeluruh dibuat bagi mengesahkan persepsi tersebut, namun ia merupakan satu cabaran yang perlu difikirkan oleh mereka yang terlibat.
.
Aspek kemahiran perlu dijadikan asas perubahan demi untuk kemajuan diri setiap individu. Mantapkan diri dengan apa jua bidang kemahiran kerana hanya dengan kemahiran sahaja yang mampu meletakkan seseorang itu di hadapan berbanding orang lain yang hanya mempunyai segulung kertas yang dipanggil ijazah. Secara tidak langsung, kemahiran tersebut adalah markah tambahan yang meletakkan kita di tempat yang pertama di dalam persaingan.
.
Sebagai kesimpulannya, frasa kemahiran teras kecemerlangan merupakan gabungan aksara yang jitu, yang harus dijadikan pegangan hidup setiap generasi muda di negara kita. Manusia yang mahir umpama sebutir benih yang akan tumbuh subur di mana saja ia diletakkan walaupun di atas tanah yang gersang sekalipun.
.
Manakala benih yang baik dan ditanam pula di atas tanah yang subur akan menghasilkan pokok yang sihat, dahan yang tegap dan dedaun yang lebat. Itulah perumpamaan kepada manusia yang kaya dengan kemahiran....
.
.
.
Disediakan oleh

Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: