Rabu, 21 Julai 2010

Pemansuhan UPSR & PMR Perlu Penelitian - Presiden

Assalamualaikum WBt dan Salam 1Malaysia...
.
LATARBELAKANG
.

UPSR dan PMR mungkin akan dimansuhkan berikutan cadangan yang dilontarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Cadangan tersebut telah menarik perhatian banyak pihak termasuk ibu bapa, guru, badan bukan Kerajaan (NGO), kesatuan guru, parti politik dan pelajar.

.

Pelbagai maklum balas disuarakan mengikut pandangan dan persepsi masing-masing. Berdasarkan hasil penelitian kepada peperiksaan UPSR dan PMR yang dilaksanakan sekarang, Kementerian Pelajaran mendapati sistem pendidikan negara yang sedia ada terlalu berorientasikan peperiksaan.

.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu SPM. Hanya peperiksaan ini yang dititikberatkan untuk memasuki pengajian tinggi serta dinilai bagi soal kerjaya.

.

Walau bagaimanapun, satu peperiksaan akan diadakan bagi menggantikan UPSR, yang tidak diwajibkan dan terbuka kepada pelajar yang ingin memasuki sekolah berasrama penuh. Namun begitu, UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja.

.

Ada pihak yang lantang menolak cadangan ini dengan alasan akan mengurangkan pencapaian sekolah, pelajar akan mula acuh tak acuh terhadap pelajaran, guru yang malas serta meningkatkan sikap culas ibu bapa yang tidak mengendahkan pelajaran anak mereka.

.

Selain itu, ada pihak yang terus menyokong cadangan pemansuhan ini dengan alasan sistem pendidikan yang terlalu memberi fokus kepada peperiksaan sehingga mengabaikan aspek lain seperti ko-kurikulum dan kreativiti pelajar. Tidak kurang juga, ada pihak yang mencadangkan hanya salah satu daripada dua peperiksaan dimansuhkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mulai menjadi sebuah masyarakat yang responsif apabila melibatkan soal kepentingan umum.

.

Terbaru pula, Kementerian bercadang untuk memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan UPSR dan PMR. Sistem ini telah diteliti dan didapati bersesuaian untuk dipraktikkan berikutan kejayaan sistem ini dilaksanakan di negara lain.

.

Sistem ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana negara maju seperti Jepun telah lama mengamalkan satu peperiksaan awam sahaja untuk memasuki universiti. Pelaksanaan SBA akan diseragamkan oleh Lembaga Peperiksaan dan membolehkan sekolah menilai pencapaian pelajar.

.

Jika dilihat dari perspektif positif, tindakan KPM ini boleh mengurangkan tekanan guru dan pelajar daripada terus dibebani dengan peperiksaan PMR dan SPM, seterusnya mencetus kepada pendidikan yang kurang efektif dan berkesan. Kita sering digemparkan dengan pencapaian pelajar yang mendapat A bagi semua pelajaran, tetapi ini masih belum dapat mencerminkan mutu pelajar berkenaan. Selain itu, sistem baru ini juga dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam kos pembelajaran anak-anak.

.

Sekiranya hanya satu peperiksaan awam akan dijalankan, implikasi kos bagi kerajaan melaksanakan pembaharuan atau projek adalah berkurangan berbanding sekarang. Selain itu, bidang-bidang lain seperti sukan dan seni mula berkembang maju. Banyak bakat baru yang berkebolehan dan berkemahiran akan lahir daripada pelbagai bidang. Memandangkan tempat yang disediakan di SBP adalah terhad, maka satu ujian khas merangkumi IQ dan EQ akan diadakan seperti mana yang diamalkan oleh MRSM ketika ini.

.

PANDANGAN

.

Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu diteliti dan dikaji dengan penuh berhati-hati agar masa depan generasi pewaris masa depan negara tidak diperjudikan sekali lagi sebagaimana gagalnya pelaksanaan PPSMI yang kini lebih dilihat membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar. Ungkapan peribahasa Melayu 'seperti tikus membaiki labu' haruslah dijadikan panduan agar kerosakan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini tidak semakin bercelaru hanya kerana tindakan yang terburu-buru tanpa kajian yang teliti dan diperhalusi secara mendalam.

.

Mungkin rakyat masih ingat lagi tentang dasar PPSMI yang semakin melebarkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan di bandar. Sebenarnya, saya sendiri secara peribadi semakin bimbang kerana, ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah dilihat hanyalah 'gula-gula' yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan 'soft landing' akan memakan masa yang lama.

.

Selepas ini,kita tidak mahu lagi melihat sistem pendidikan yang bercelaru dan pelbagai projek dilaksanakan atas nama dan slogan 'pendidikan anak bangsa' dilaburkan dengan begitu mudah tanpa kajian teliti. Akhirnya, implikasi yang diterima kesan daripada transformasi sistem pendidikan dilihat hanya lebih kepada 'retorik' semata- mata dan 'indah khabar dari rupa'. Implikasinya, guru dan pelajar menjadi mangsa 'eksperimen' pendidikan yang bercelaru.

.

Memang diakui, sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini tidak mementingkan nilai pembangunan rohani dan sahsiah serta akhlak yang tinggi sebaliknya lebih berorientasikan 'peperiksaan' atau 'exam oriented' semata-mata. Mata pelajaran Pendidikan Islam pula tidak dimasukkan dalam subjek UPSR sedangkan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, pelajar boleh mengambil lebih dari 5 matapelajaran. Persoalannya, apa salahnya jika pelajar Melayu Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai syarat wajib dalam UPSR? Bukankah dengan cara ini, penerapan nilai sahsiah yang tinggi sebagai individu muslim dapat diterjemahkan melalui perlakuan amalan dan tindakan apabila isi kandungan matapelajaran Pendidikan Islam dihayati oleh setiap pelajar?

.

Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar pada hari ini memerlukan penelitian yang rapi dan penuh berhati-hati apabila mahu mengubal sistem pendidikan yang ada pada masa kini. Masalah sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah,zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan.

.

Kita semua dapat melihat seolah-olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan tersergam indah dan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris masa hadapan bergelar 'pelajar' yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya sistem pendidikan yang holistik dan bersepadu merangkumi penerapan nilai-nilai murni merupakan wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

.

Sesungguhnya, 'Guru' adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanahair. Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, kepada golongan pendidik dan pakar pendidikan di seluruh negara diseru agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat sistem pendidikan negara dan masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

.

Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang yang digubal suatu ketika dahulu kini semakin tersasar jauh dari konsep JERI (Jasmani, Emosi, Rohani,Intelek), saya menyeru ahli akademik dan tokoh pendidikan tanahair agar berani menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Persidangan Meja Bulat yang akan berlangsung pada 17 Julai dan 27 Julai ini sangat penting agar masa depan pelajar tidak 'terkorban' sekali lagi di tangan golongan 'pembuat dasar' di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia sedangkan dalam masa yang sama golongan 'pelaksana dasar' yang mewakili lebih daripada 360,000 pendidik di seluruh Malaysia menjadi mangsa transformasi sistem pendidikan yang bercelaru. Cukuplah isu pemansuhan matapelajaran Jawi suatu ketika dulu yang akhirnya menyebabkan ramai pelajar Melayu Islam 'buta Al- Quran' dan tidak 'celik Tulisan Jawi'. Begitu juga dengan Dasar PPSMI yang telah bermula pada tahun 2003 yang belum dimansuhkan hingga kini.

.

Sebenarnya, apa yang diharapkan dari golongan pendidik ialah aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual yang tidak dikesampingkan demi mendepani cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi masa kini.Pemansuhan UPSR misalnya, haruslah diganti dengan suatu sistem pentaksiran yang lebih efektif dan efisyen dengan memasukkan unsur EQ ( Emotional Quationt), IQ (Inteligent Quotiont) dan SQ (Spiritual Quationt) di samping tidak meminggirkan penghayatan dan amalan ilmu yang lebih praktikal untuk diadaptasi dalam kehidupan pada masa akan datang seperti unsur kemahiran hidup,unsur nilai keusahawanan dan sifat berdikari dalam diri.

.

Di samping itu, pemilihan pelajar ke asrama penuh selepas peperiksaan UPSR sebelum ini pula perlu diganti dengan sistem penilaian yang lebih holistik, bukan sahaja berdasarkan keputusan akademik dan bilangan 'A' semata-mata sebaliknya merangkumi aspek ko-kurikulum dan aspek sahsiah diri agar kemasukan pelajar terpilih ke asrama penuh tidak mengundang masalah disiplin kemudian hari. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tetapi hilang jatidiri dan nilai murni dalam diri seperti terdedah kepada kes buli yang akhirnya mengakibatkan nyawa pelajar lain melayang.

.

Isu kematian pelajar yang bernama Muhammad Naim Mustakim Bin Mohd. Sobri akibat dibuli pada 26 Jun yang lalu, daripada Maktab Tentera Diraja baru–baru ini menggemparkan dunia pendidikan negara kerana tidak menyangka kes seperti ini boleh berlaku di sekolah yang terbaik dan dari kalangan pelajar yang cemerlang akademiknya.

.

Sudah pasti senario seperti ini akan menghakis kepercayaan ibu bapa dan orang ramai terhadap integriti dan kredibiliti institusi sekolah yang berkenaan.Bukan sahaja imej sekolah tercemar malahan nyawa pelajar yang tidak bersalah menjadi korban gara- gara sikap segelintir pelajar yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab. Sudah pasti ibu bapa pelajar mangsa yang terkorban berasa sangat kecewa kerana mereka mengharapkan anak yang dihantar belajar di sekolah terpilih dan tersohor akan menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada negara tetapi malangnya pulang kepangkuan keluarga dalam keadaan telah menjadi mayat dan terbujur kaku serta tidak akan kembali lagi bersama mereka. Kes seperti ini, harus menjadi pengajaran penting untuk diperhalusi oleh pihak kementerian agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

.

Manakala, pemansuhan PMR pula memerlukan rasional yang wajar agar diterima baik oleh golongan pendidik, tokoh pendidikan,golongan ahli akademik,ibu bapa dan pelajar agar mereka tidak merasakan bahawa pemansuhan PMR ini hanya ’menggadai’ masa depan anak bangsa semata- mata.Tuntasnya, transformasi sistem pendidikan ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu- buru sebaliknya memerlukan kajian yang cukup teliti dan ’dimurnikan’ secara berperingkat.

.

Saya dengan ini ingin membuat penegasan bahawa kajian teliti perlu dibuat dengan mengambilkira aspek yang telah disebutkan di atas selain mewujudkan suatu sistem pentaksiran pelajar yang lebih holistik jika pemansuhan UPSR dan PMR mahu dilaksanakan.

.

Kalau perlu, bukan setakat Persidangan Meja Bulat pada 17 Julai dan 27 Julai ini, malahan 'sesi pendengaran awam' juga amat penting dan perlu diadakan agar rakyat berpeluang menyuarakan pandangan dan pendapat demi melihat kelangsungan sistem pendidikan negara lebih konsisten dan terarah serta memiliki halatuju yang jelas.

.

Akhirnya, kesimpulan yang dapat dibuat adalah kita jangan tergesa-gesa melaksanakan sesuatu jika kita sendiri belum bersedia melaksanakannya. Bimbang nanti, generasi muda yang dijadikan sebagai ’eksperimen’ ini akan menanggung bahananya di sepanjang hidup mereka ekoran kegagalan mereka mengadaptasi perlaksanaan kerajaan ini. Dan pada ketika itu (mungkin) kita sekali mencadangkan kaedah baru, memperkenalkannya kembali atau memindanya semula, siapa tahu. Dan pada ketika itu jelaslah sistem pendidikan negara akan terus dipertikai...

.

Hanya sekadar mengutarakan pandangan!!!

.


Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: