Ahad, 27 September 2009

Pertandingan Pidato Terbuka Kolej MARA & Kolej Profesional MARA!!

Satu pertandingan Pidato bersempena Hari Kebangsaan telah diadakan di Kolej MARA Banting, Selangor pada 27 September 2009 bersamaan dengan 8 Syawal 1430 Hijrah. Walaupun suasana Syawal masih dirasa namun ini tidak menghalang pertandingan ini daripada diadakan. Pertandingan telah dijalankan di Dewan Besar Kolej MARA Banting. Pertandingan ini telah disertai oleh 9 peserta yang mewakili Kolej MARA dan Kolej Profesional MARA dari seluruh pelusuk tanah air. Pertandingan ini disertai oleh:
1. Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)
2. Noralini (KPM Seri Iskandar)
3. Nor Hidayat (KPM Beranang)
4. Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)
5. Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)
6. Mohd Hanif (KM Banting)
7. Siti Yusfa Azwa (KM Kulim)
8. Abdul Rahim (KM Kuala Nerang)
9 Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)


Pertandingan ini telah diadili oleh Saudara Syamsul Amri Hj Ismail (Presiden ADAM) dan Saudara Hanif Osman (Ahli MT ADAM). Johan pertandingan ini telah disandang oleh Mohd Hanif daripada KM Banting dengan 162 markah. Hanif menyampaikan pidato bertajuk "Satu Suara Satu Hati : Keranamu Malaysia". Tempat kedua pula disandang oleh Idris Mohd Asri daripada KPM Indera Mahkota dengan 150 markah. Beliau membawakan tajuk "Wawasan Asas Kemajuan". Manakala di tempat ketiga pula disandang oleh Nor Hidayat yang mewakili KPM Beranang dengan tajuk pidato nya "Bangsa Tegas Negara Teguh". Tahniah diucapkan kepada yang berjaya, dan kepada yang tewas cuba lagi di masa yang akan datang, mudah-mudahan anda semua beroleh kejayaan. BERITA DILAPORKAN OLEH : EDITOR





Para penonton sudah mulai masuk ke Dewan menantikan Pertandingan Pidato dimulakan
Pentas yang bakal menjadi medan pertandingan sebentar lagi
Peratndingan Pidato Bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke - 52
Pertandingan ini diadili oleh Sdr. Syamsul dan Sdr Hanif, nama yang tidak asing dalam dunia Pidato dan Debat IPT
Peserta Pertama; Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)
Noralini (KPM Seri Iskandar)
Nor Hidayat (KPM Beranang)
Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)
Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)
Mohd Hanif (KM Banting)
Siti Yusfa Azura (KM Kulim) Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)


******************************************************************************


KOMENTAR HAKIM
================


Bagi peserta pertama, penggunaan fakta yang kurang. Terdapat penggunaan perkataan yang tidak betul diksi dan sebutannya. Contohnya "Lautan Atlantik" tetapi disebut "Atlantif". Ada disebut tentang Pasaraya Carrefour, Tesco, tentang TM yang membuat usahasama dengan Jepun dan Australia, namun tidak dihuraikan menjadikan penyampaiannya 'kelabu'. Kebanyakan isi tidak dihuraikan. Pemidato ini kelihatan kurang bersedia dengan penyampaian yang tersekat-sekat. Ini banyak memberi kesan dari segi pemarkahan. Kematangan isi juga terdapat kelonggaran kerana pemidato ini hanya menyampaikan pidato tanpa penghuraian yang jelas serta perkaitannya dengan tajuk tidak pula diperincikan.

Bagi peserta kedua, muqaddimah berbunga yang terlalu panjang, menyebabkan lewat tiba kepada isi. Penyampaiannya menarik dan kelihatan lancar namun, agak ketara teknik penghafalannya. Namun, itu tidak menjadi masalah, cuma penyampaiannya agak selanjar dari segi nada dan gaya suaranya, menyebabkan pidatonya menjadi biasa sahaja. Ada juga penggunaan kata kurang sesuai seperti "slogan propaganda 1 Malaysia". Jika "Slogan 1 Malaysia" mungkin sesuai. Namun dengan penggunaan "propaganda" menjadikan ayat itu kurang sesuai memandangkan biasanya "propaganda" biasanya digunakan dengan maksud negatif. Namun saya yakin peserta kedua ini boleh pergi lebih jauh jika diperbaiki teknik pidatonya. Begitu juga penggunaan "Sense of Belong" yang sepatutnya disebut sebagai "sense of belonging". Sekali lagi, hanya penyampaian huraian karangan tanpa ditunjukkan dengan jelas perkaitannya dengan tajuk.

Peserta ketiga; seperti biasa, banyak membuang masa dengan introduction. Terlalu panjang, tiadanya ringkasan (outline) tentang apa yang bakal disampaikan. Sedangkan ini lah dia teknikal penting dalam pidato. Ada sedikit penghuraian tentang Konsep 1 Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969, tetapi langsung tidak dikaitkan semula dengan tajuk yang disampaikan melalui penegasan disetiap tamat penghuraian setiap isi.

Peserta Keempat; Memiliki gaya yang sangat disenangi hakim, kelihatan agak "jantan" apabila berpidato. Cuma apabila sampai kepada isi, pemidato ini kelihatan terikat kepada teks pidatonya yang seolah-olah dibuat-buat penyampaiannya tanpa si pemidato memahami apa yang disampaikannya sendiri. Teknik 'gap' ketika menelan air liur juga kelihatan agak ketara yang sedikit mengganggu persembahan. Ada juga perkataan kurang sesuai digunakan seperti "tergelumang" yang sepatutnya "bergelumang".

Peserta Kelima; terdapat penggunaan ayat kurang sesuai sebagai contoh "bila-bila, mana-mana dan siapa-siapa pun yang ....". Memanglah seolah menarik perhatian bunyinya tetapi penggunaan yang salah tetap salah. Maka perlulah diperbaiki dari aspek ini. Isi kandungan yang dilontarkan juga kurang kemas dan agak berkeliaran (tanpa fokus) kepada tajuk. Namun permulaan peserta ini nampak kemas cuma apabila tiba kepada point-point yang ingin diutarakan, pemidato tiba-tiba 'blank' atau 'blackout' dan tercari-cari isi yang telah dicatat dalam nota yang dibawanya bersama di atas pentas. Inilah faktor yang menggagalkan kelancaran persembahan awal pemidato tadi. Barang diingat, apabila seseorang pemidato memegang nota ditangan, walau sekecil mana, walau tidak dirujuk sekali pun sehingga ke loceng penamat, sebenarnya ini melambangkan pemidato tidak yakin dengan isi yang bakal dipersembahkan.

Peserta keenam; Postur badan yang agak membelakang. Mengakibatkan apabila tangan dilapangkan ke bawah kelihatan seolah-olah terlentang. Itu dari sudut gaya. Cuma saya memuji dari segi kekemasan persembahan. Adanya outline iaitu penerangan ringkas tentang apa yang bakal disampaikan. Cuma di bahagian penutup tidak pula dinyatakan apakah yang telah disampaikan. Dan masalahnya, pemidato ini kemas namun, hanya membawakan dua isi. Walaupun berselirat, dua tetap dua. Dalam masa lapan minit, pemidato sebolehnya membawakan 4 atau 5 isi. Itu sebaiknya. Ada juga analogi yang gagal dikesan berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan. Katanya "Ah Meng sebagai penggubal, Raju sebagai penyokong dan Ahmad sebagai Pelaksana..." Kata-kata ini kurang sampai maksudnya. Apakah Ahmad sahaja yang akan melaksanakan Bahasa Kebangsaan ini. Dan yang lain hanya sebagai penyokong dan penggubal. Tidak tepat rasanya penyampaian sebegini. Perlu lebih pembacaan dan menghalusi isi.

Peserta Ketujuh; Tidak perlu dikomen banyak, cumanya, masalah ketara seolah pertandingan membaca. 98% persembahan adalah dengan membaca Teks. Tanpa perlu memujuk audien supaya mendengar. Kesimpulan untuk peserta ini perlu ubah cara penyampaian, dan lebih bersedia di masa hadapan.

Peserta Kelapan; Hujah dipersoalkan kerana tiada tag line yang jelas. Tiada huraian yang kena mengena secara langsung. Kelancaran tersekat-sekat. Dan penyampaian TERLALU laju. yang saya puji beliau berupaya menyampaikan sehingga 5 isi, tetapi penyampaian yang tidak kemas, tidak teratur lebih membayangi keseluruhan persembahannya. Isikandungannya diolah dengan keratif serta bait-bait ayat yang menarik cuma itulah.... ketidaklancaran, ketidak aturan lebih ketara di dalam persembahan pemidato ini. Jika pemidato ini lebih tenang dan relaks mungkin, keputusan hari ini boleh berubah.

Dan akhirnya peserta kesembilan. Persembahannya agak lemah, diksi serta sebutan yang yang dilontarkan agak kurang tepat dan tidak betul. Persembahan dan gaya nada suara mendatar dari mula hingga ke akhir dan kelihatan seolah tidak menguasai isi yang ingin disampaikan. Sehinggakan ada pernyataan yang dipersoalkan perkaitannya, sebagai contoh " Sesungguhnya Nasionalisme mewujudkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang". Sedangkan tajuk yang disampaikan menuntut beliau menghuraikan tentang "Nasionalisme Teras Perpaduan" dan tidak pula dihuraikan perkaitannya dengan tajuk. Mungkin maksud pemidato ini ialah apa bila generasi cemerlang, gemilang dan terbilang barulah perpaduan dapat diwujudkan. Mungkin begitulah agaknya... namun tidak dihuraikan maka tidak sampailah maksud keinginannya. Namun jikalau diukur dari segi sorakan penonton, mungkin pemidato terakhir ini paling menarik perhatian.

Secara keseluruhannya terdapat tiga aspek utama yang perlu diambil perhatian:

Pertamanya; gaya persembahan, janganlah terlalu ketat atau formal seperti pidato budak-budak sekolah. Biarlah lebih santai (tapi jangan terlalu). Jangan amalkan konsep menghafal. Kerana faham itu lebih baik daripada hafal tetapi tidak faham.

Keduanya; Teknikal. Ingat aturannya;

a) Introduction
b) Alu-Aluan
c) Tajuk
d) Definisi
e) Outline Isi
f) Isi (Setiap isi mestilah Lengkap dengan Tagline, Contoh, Fakta dan Analogi)
g) Kesimpulan (berserta dengan huraian ringkas berkenaan apa yang telah disampaikan tadi - secara ringkas!)
h) Penutup yang menarik supaya penonton tidak lupakan kita.

Teknikal ini menekankan rukun konsep pengucapan awam iaitu:


a) Beritahu APA yang ingin kita sampaikan
b) SAMPAIKAN; dan
c) Beritahu APA yang telah kita sampaikan.


Dan yang ketiga; Sebolehnya janganlah bawa teks di atas pentas. Walau sekecil manapun, kerana apabila nota ada di tangan kita, sampai bila pun kita tidak akan yakin untuk membuat persembahan dengan baik percayalah. Pengalaman saya di dalam bergelumang dengan kejuaraan Pidato sejak dahulu sehinggalah ke kejayaan anak-anak didik saya kini banyak mengajar saya akan hal ini. Percayalah, jika anda ingin pergi lebih jauh lagi ingatlah bahawa "Untuk berjaya, ubahlah pendekatan anda". Yang berjaya bukanlah kerana anda terlalu baik, cuma yang lain mungkin lebih kurang baik daripada anda. Namun apapun ia tetap satu permulaan yang baik. Tahniah kepada yang berjaya mahupun yang belum berjaya.


Sekian dan Salam Aidil Fitri buat semua.



Ulasan Hakim ini diilhamkan menurut pandangan:









Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

4 ulasan:

AsRi berkata...

Assalamualaikum.

Saya, peserta keempat, Mohd Asri bin Jusoh dari Kolej Profesional MARA Indera Mahkota. (Nama saya tidak ada Idris di hadapan)

Pertama-tamanya terima kasih kerana sudi menulis komentar di sini. Terkejut sebenarnya ketika membaca.

Saya nak ucap jutaan terima kasih kerana sudi memilih saya sebagai NAIB JOHAN. Ini satu pencapaian tertinggi, saya tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan pidato sebelum ini. Mungkin pengalaman menyertai Pertandingan Debat banyak membantu. Tapi sebenarnya saya masih belajar untuk menyesuaikan 'tone' saya kerana nampak masih macam nak berdebat. hehe..

Apa-apa pun, terima kasih kerana komen Encik. Ya, saya mengaku yang saya banyak merujuk pada teks, tanpa mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi fakta dengan perkataan sendiri secara spontan. Mungkin terlalu ketara sehingga Encik sedar.

Berkenaan teknik 'gap' menelan air liur, itu perlu saya perbaiki. Terima kasih kerana menegur. Selepas menonton sendiri video persembahan saya, saya juga baru sedar tentang kesalahan itu.

Insya-ALLAH, di lain ketika, saya akan cuba untuk menjadi lebih baik daripada pertandingan ini. terima kasih.

Mohd Asri bin Jusoh,
KPM Indera Mahkota,
Peserta Ke-4.

rose berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Alumni Debat Malaysia berkata...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih di atas kesudian kesemua pihak yang membaca komentar hakim yang telah dikeluarkan beberapa hari yang lalu. Maaf di atas kelewatan membaca dan membalas lantaran kesibukan dengan tugas hakiki. Namun saya cuba sedaya upaya untuk melontarkan jawapan balas untuk semua.

Buat Saudara Asri, tahniah dengan kejayaan anda, saya percaya anda mampu pergi dengan lebih jauh lagi asal sahaja anda teruskan dengan latihan serta mendapat bimbingan yang betul demi kejayaan yang lebih baik di masa akan datang. Teknik dan Strategi pembawaan isi anda akan menjadi lebih baik jika anda mendalami dengan lebih baik segala aspek berkaitan dengan pidato ini. Gaya rasanya sudah tidak banyak masalah cuma yang ketara dari segi cara pembawaan hujah serta kemantapan pemahaman isi yang kita bawa sendiri. Ini lebih penting. Segalanya akan lebih mudah sesudah anda menguasai aspek ini. Percayalah.

Buat Puan Roslina, rasanya apa yang dimaksudkan bukanlah "Bahasa Baku" tetapi "Sebutan Baku". Di sepanjang perdebatan dan pidato yang sertai semasa di peringkat Universiti mulai tahun 1997 sememangnya tidak diwajibkan menggunakan Sebutan Baku. Dan Sebutan biasa juga adalah dibenarkan. Sehingga ke saat ini yang masih menggunakan Sebutan Baku biasanya mereka yang lahir di Sabah dan Sarawak. Itupun sudah ramai yang menggunakan bahasa biasa sahaja. Begitu pun tidaklah menjadi kesalahan untuk menggunakan mana-mana kaedah sebutan asal sahaja ia merupakan Bahasa Melayu yang difahami. Saya bersetuju dengan Puan Roslina bahawa penggunaan "ANDA" menjadi "ANDE" kelihatan agak keterlaluan dan ini mungkin disebabkan oleh pengaruh persekitaran pemidato tersebut (mungkin diluar pertandingan pun dia menyebutnya begitu). Dan sebagaimana yang saya utarakan tadi tiada permasalahan jika itu caranya menyebut asal sahaja Bahasa Melayu yang dapat difahami maka tiada penalti untuk itu.

Sekian dan terima kasih di atas pandangan dan komentar semua semoga bertemu lagi di lain masa.

Yang ikhlas;

Presiden ADAM

muhammad syazwan berkata...

asslamaualaikum,
saya sewaktu di sekolah menengah sering terlibat dalam kejuaraan debat dan pidato. Namun, sejak saya memasuki IPTS yang sememagnya menekankan penguasaan bahasa inggeris menjadikan saya sedikit banyak meminggirkan minat saya dalam pidato.
Sewaktu di sekolah, saya mewakili sekolah dalam bahas bahasa inggeris dan juga Pidato piala di raja. Namun , kesemua ini seolah-olah terkubur lantaran peluang yang agak tertutup ketika di peringkat Universiti.

Justeru, saya pohon, jika pihak tuan menganjurkan sebarang program kejohanan pidato atau debat bahasa Melayu (kalau bahasa Inggeris jarang ada peluang, maklumlah banyak lagi non-malays yang amat amat fasih berbahasa INggeris) sila jemput kami di IPTS melalui kelab-kelab kebudayaan melayu.

Terima kasih

Muhammad Syazwan
Koelj Universiti INTI, Nilai