Antara ADAM dan ADI.... Apakah Persoalan Sebenar – Oleh Acoy
Assalamualaikum dan salam Muhibbah kesemuanya,
Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang pelancaran Alumni Debat IPT (ADI) yang berlangsung di Quality Hotel City Centre pada 18 September 2008 di mana YB Dato Saifuddin Abdullah telah dilantik sebagai Penaung Pertama. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada YB Dato di atas kesudian melancarkan kelahiran ADI dan pastinya inilah yang dinanti-nanti oleh keseluruhan bekas pendebat di seluruh Negara.
Cuma mungkin apa yang ingin dipersoalkan adalah perkara ini tidak pernah dikongsi dengan sebahagian besar alumni debat di seluruh Negara. Dan mengapa ramai yang tidak mengetahui dan apakah ia bersifat ‘selective’ sehingga ramai yang tidak dipanggil malah agak terkejut kerana dengan tiba-tiba ADI ini telah wujud dan tidak dikongsi. Mungkin nama ‘Acoy’ tertinggal atau sengaja ditinggalkan… atau mungkin saya dan beberapa rakan lain tidak tersenarai kerana mungkin disebabkan sebelum ini berhasrat membentuk sebuah pertubuhan alumni yang tidak seiring dengan barisan alumni yang mereka gemari… itu mungkin persoalannya. Namun demi bersangka baik saya, Hanif, Mohamad, Yusfarizal, Wan Rohimi, Zairul dan rakan-rakan lain bolehlah meletakkan tanggapan bahawa ia tidaklah begitu cumanya Majlis itu tidak sempat disampaikan ke pengetahuan kami (mungkinlah begitu….).
Namun seharusnya kita perhalusi kembali di mana mulanya hasrat dan usaha mewujudkan alumni debat ini. Saya katakan ia telah bermula sejak zaman saya baru berjinak dalam debat universiti di UiTM lagi (dahulunya ITM) iaitu pada tahun 1990-an. Mungkin sebelumnya lagi…(mungkin juga). Namun di kemuncak usaha itu saya rasa timbul ketika tahun 2005 pelbagai diskusi tidak rasmi berjalan di antara beberapa orang termasuk saya dari segi penggemblengan dan pengumpulan data-data peribadi pendebat dan akhirnya borang-borang dan data-data telah berjaya dikumpul sebahagian besarnya ketika berlangsungnya Pertandingan Debat DiRaja di UKM pada tahun itu. Disinilah bermulanya harapan baru kepada alumni-alumni debat yang inginkan satu platform di mana alumni boleh merujuk bagi tujuan mengikuti perkembangan debat semasa tanpa dipinggirkan. Semenjak dari itu bertalu-talu soalan diajukan …. BILA NI? BILA NI? Mujurlah saya bukanlah orang yang bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada penajanya (dan tidak perlulah saya nyatakan siapa, tetapi alumni tentu tahu siapa). Maka pada ketika itu saya pun hanya menyatakan ia masih di dalam proses pendaftaran oleh jawatankuasa penaja. Akhirnya ia tetap tetap tidak wujud sehinggalah pada Pertandingan Debat DiRaja di UNIMAS Sarawak 2006 (setahun kemudian). Pada ketika ini saya telah berpeluang ke sana (bukan atas tiket alumni) tetapi di atas tiket jurulatih UNIMAS untuk pertandingan itu, dan pada ketika inilah saya bertemu dengan beberapa rakan seperdebatan dari universiti lain seperti Yusfarizal, Wan Rohimi, Zairul, Faizi. Di sini kami berbincang dengan mendalam tanpa mengira latarbelakang universiti yang kami dasari tetapi alumni yang yang menjadi topik perbincangan.
Kami seringkali merangka pertemuan dan tetap menyatakan bahawa kita masih perlu memberi peluang kepada penaja yang asal (yang juga masih tidak ingin saya nyatakan namanya) menguruskan penubuhan alumni ini. Akhirnya 2007 pula kian menghabiskan hayatnya namun hasrat penubuhan alumni tetap tidak kesampaian. Masih juga ia tidak wujud, dan masih juga ia tidak menjadi kenyataan. Sehinggalah pada Pertandingan Debat DiRaja di UiTM 2007 (setahun kemudian lagi) di UiTM Shaha Alam. Di sinilah ramai yang bertekad untuk mewujudkan juga satu alumni debat. Dan perancangan ini telah berjaya menghimpunkan sebahagian besar alumni daripada pelbagai universiti. Antaranya termasuklah Dr Ramzah, En Nazri , Dr Yasmin, Sheena, Mohamad, Hanif dan ramai lagi. Cuma yang peliknya apabila telah di war-warkan pada paginya bahawa satu perjumpaan akan diadakan pada petangnya bagi tujuan penubuhan Pertubuhan Alumni (yang dicanangkan pada ketika itu ADAM lah namanya)... maka pada petang itu juga telah timbul pula satu pengumuman lain bahawa satu perjumpaan alumni debat UiTM dengan dengan pendebat UiTM masakini.
Persoalan timbul mengapa dijalankan serentak? Apakah motifnya? Sekali imbas ia jelas sekali untuk menarik sebahagian besar alumni yang datangnya daripada UiTM supaya tidak hadir ke perjumpaan ADAM yang dirancangkan tadi. Maka berjayalah hasrat mereka. Begitupun saya sebagai salah seorang daripada alumni debat UiTM pergi juga hadir ke perjumpaan alumni UiTM dengan juniornya yang diadakan di dewan yang lain itu. Saya menunggu apakah niatnya sama, atau adakah sekadar mengalih perhatian daripada ADAM yang lebih penting ketika itu. Nyata tepat sangkaan saya. Pada ketika itu wujudlah sesi mengenang memori silam tentang siapakah pendebat hebat dulu-dulu (di UiTM) dan bagaimanakah pembentukan Kelab Debat & Pidato dan sebagainya. Dan akhirnya setelah saya berpeluang berucap menyampaikan pengalaman saya (sama seperti yang lain-lain) maka saya telah memohon izin dan masuk semula ke dewan yang berhasrat menubuhkan ADAM ini.
Maka wujudlah jawatankuasa penaja yang telah dipengerusikan oleh En Nazri pada ketika itu. Namun, saya selepas itu bersama-sama rakan saya tetap menunggu bilakah agaknya dan apakah perkembangan ADAM ini. Namun , sedang apabila kesemua melihat dan menanti ADAM yang sedang diusahakan untuk menjadi nyata ..... secara tiba-tiba saya mendengar kemunculan ADI sebagaimana yang saya ceritakan di awal tadi. Jelas sekali boleh pun sebenarnya pertubuhan alumni ini diwujudkan. Tapi nampaknya lebih mudah mungkin apabila ada yang takut seandainya ADAM ini yang ke hadapan. Namun tidak mengapalah, walaubagaimanapun Sekali lagi Alhamdulillah, saya bersyukur, maknanya telah muncul satu platform yang diharapkan dapat menjaga alumni debat tanahair. Dengan kemunculan ADI ini saya harapkan ramailah alumni yang akan menyertai tanpa ada manusia yang bersikap sinis dengan penyertaan mereka, atau janganlah pula nanti ada pula alumni-alumni yang tidak dibenarkan menyertai kerana tidak ‘sehaluan’ disebabkan oleh sejarah pertikaian peribadi lampau yang seolah tidak mampu di uraikan. Kerana kita perlu sedar bahawa ADI ini adalah milik alumni maka alumni perlu diterima dan dihargai tanpa dibezakan.
Dan, saya ingin menasihatkan kesemua pengasas ADI agar jelas dengan matlamat dan maksudnya, dan mengutamakan kebajikan alumni itu sendiri terutamanya agar tidak nanti ramai yang mempertikaikan bahawa ADI sekadar melepaskan batuk di tangga tanpa sebarang aktiviti, dan nanti dikatakan hanya sebagai usaha untuk mengenepikan ADAM, dan tidak lebih dari itu. Maka jika demikian halnya, nasib alumni akan tetap seperti dulu, yang mana Alumni hanya akan diperlukan ketika setiap edisi Debat DiRaja kerana pada ketika itu hakim tidak cukup dan tidak berbayar, maka pada ketika itulah alumni debat dilihat fungsinya…. tetapi tidak pada pertandingan-pertandingan lain.
Saya yakin apa yang saya nyatakan ini cukup difahami oleh sekelian warga alumni yang dikasihi. Sebagaimana yang telah saya nyatakan, ini bukan persoalan ADAM atau ADI, tetapi ini adalah persoalan sejauh mana hak dan kebajikan alumni akan dijaga sepenuhnya? Maka untuk mengelakkan ini jika ADI lah yang dikehendaki oleh Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang dikasihi baiklah, AYUH SEKALIAN ALUMNI, KITA SERTAI ADI. Namun jauh di sudut hati kecil saya berkata yang ia tidak semudah itu kerana saya mengetahui bahawa ada ADI tidak pun mengajak kebanyakan Alumni memandangkan mungkin ada yang telah dianggap sebagai 'penentang'. Di sinilah kita melihat masih relevannya ADAM ini yang tetap akan bergerak seikhlas hati sebagai pemangkin aktiviti bagi memastikan alumni tidak terpinggir.
Inilah janji saya kepada sekalian ahli ADAM …..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan