Selasa, 25 November 2008

Isu Bantahan Klip Video - Oleh Yat

Isu Bantahan Klip Video - Oleh Yat

Isu bantahan klip video sajak kematian mula mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammuddin yang merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran akan mengadakan siasatan berhubung penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah seperti dilaporkan media sebelum ini. Beliau juga menyatakan pandangan kurang bersetuju dengan penggunaan klip video tersebut disebabkan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda dan pendekatan yang digunakan kurang berhemah.

Saya selaku pendidik yang kini mengajar di salah sebuah sekolah di Seremban berasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara komprehensif bagi merungkai permasalahan yang berlaku. Di sekolah meskipun saya mengakar Bahasa Inggeris, saya diajar dengan pelbagai method untuk membuatkan sesi pengajaran itu berjalan dengan efektif. Pelbagai teknik boleh digunakan termasuklah menggalak dan mendorongkan seseorang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara yang baik dan berakhlak mulia. Adakalanya ia boleh sampai ke tahap menakut-nakutkan seseorang supaya tidak cuai dalam menunaikan ibadat dan berakhlak baik.

Pepatah melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Dalam isu ini, saya bersetuju tayangan klip video tersebut ditayangkan kepada pelajar. Ini kerana Falsafah Pendidikan Negara ( FPN ) sendiri telah menyatakan dalam melahirkan individu yang seimbang dan harmonis perlu diterapkan 4 unsur iaitu emosi, rohani, intelektual dan jasamani. Dalam umur pelajar yang meningkat remaja, mereka perlu sentiasa dididik bukan dihalang dalam melakukan sesuatu perkara. Ibu bapa dan guru mamainkan peranan penting dalam membentuk minda pelajar yang berfikir secara rasional dan kritis.

Lebih – lebih lagi di era globalisasi ini, saya beranggapan pemikiran pelajar – pelajar semakin terkehadapan kerana mereka sering didedahkan dengan maklumat – maklumat semasa tanpa ada sekatan. Bagi saya sepatutnya yang perlu Kementerian Pelajaran beri perhatian adalah kebanjiran cerita – cerita tahyul dalam media – media perdana sekarang. Walaupun ia diluar bidang kuasa kementerian tetapi KPM bertanggungjawab bagi menyediakan alternatif untuk menangkis serangan pemikiran tahyul dan kurafat dalam pemikiran diri pelajar. Bagi saya, pendidikan yang berkesan adalah pendidikan yang menjawab persoalan semasa bukan pendidikan sekadar formula dan memenuhi tuntutan silibus sahaja. Justeru, saya melihat isu klip video ini bukan suatu isu yang besar yang perlu diberi perhatian oleh pihak KPM kerana terdapat banyak isu pendidikan yang lebih besar seperti isu moral pelajar yang semakin membimbangkan, isu prasarana sekolah yang tidak mencukupi, isu berkaitan dengan guru ( gaji dan penempatan ) dan isu kegagalan sekolah melahirkan individu yang seimbang dari sudut akademik dan juga sahsiah diri. –

Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar (Yat) ( noiyatcoy@yahoo.com )

Tiada ulasan: