Selasa, 25 November 2008

DEBAT KEMERDEKAAN 2008: Pasukan 'Underdog' UTP dan UPSI Beri Amaran!!!

( Dipetik Daripada Artikel akademidebat.com )

24/8/2008, Kuala Terengganu: Tiada siapa menyangka dua pasukan 'underdog' telah berjaya memecahkan kebuntuan Debat Kemerdekaan 2008 untuk muncul sebagai 2 pasukan terbaik yang berjaya memboloskan diri ke pentas finale. Kemunculan kedua-dua pasukan ini, dengan menyingkirkan pasukan-pasukan yang sering menjadi pengunjung tetap pentas pertandingan akhir bagi debat antara universiti adalah merupakan isyarat dan amaran awal bahawa pola penguasaan debat inter-varsiti masakini akan berubah. Ramuan ketekunan, disiplin dan kerja keras pasukan 'underdog' ini akhirnya kelihatan semakin membuahkan hasil. Apalagi dikala banyak pasukan yang dianggap sebagai penghuni tetap pentas akhir semakin selesa dengan sejarah dan kejuaraan silam, serta sikap mendabik dada yang banyak membantutkan usaha peningkatan diri dan kualiti, telah membuka ruang yang luas kepada pasukan kerdil untuk menyingkirkan banyak pasukan ternama. Walau pun pasukan-pasukan yang mempunyai nama yang gah dalam dunia debat, kebanyakan memilih untuk tidak menurunkan 'star' debat mereka, namun pendebat-pendebat yang mewakili pasukan itu adalah juga dari kalangan pendebat yang kaya dengan kepakaran dan pengalaman debat. Namun kebangkitan dan kemaraan 'underdog' sukar dibendung lagi.

Paling mengejutkan adalah kejayaan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul sebagai pasukan yang berada pada ranking ke-2 pusingan awal, iaitu satu tangga selepas pasukan UIAM, telah membuka mata banyak pihak. Walau pun UPSI mempunyai laluan yang sukar pada pusing suku akhir bertemu dengan UMS dan separuh akhir dengan USIM, namun nyata sekali kegigihan UPSI ternyata membuahkan hasil. Dalam kedua-dua perlawanan suku akhir dan separuh akhir, UPSI menewaskan UMS dan USIM dengan juri 4 -1. Ketokohan Siti Habibah (UPSI) untuk muncul sebagai Pendebat Terbaik keseluruhan pusingan awal, dan Pendebat Terbaik pertandingan akhir banyak menjadi buah mulut hakim dan peminat debat tanah air.

UTP, juga mengejutkan banyak pihak apabila dengan hanya berbekalkan 'nyawa-nyawa ikan' untuk mara ke suku akhir pada ranking ke-8, telah berupaya menewaskan pasukan UIAM yang mendahului carta liga pusingan awal. Pada peringkat separuh akhir, UTP meneruskan kebangkitannya dengan membenam satu lagi pasukan ternama, UiTM untuk mara ke pentas akhir.

Di pentas akhir, UTP tidak membuang masa untuk menggondol Piala Kejuaraan Debat Kemerdekaan 2008. Walau pun terpaksa berhempas pulas dalam satu pertandingan yang sengit dengan kemenangan tipis, juri 4 - 3, UTP kini telah berjaya menobatkan diri sebagai sebuah kuasa baru debat yang perlu diberikan perhatian. Bertindak sebagai Pembangkang, UTP berjaya meyakinkan majoriti juri untuk menolak usul yang dicadangkan oleh UPSI yang bertindak selaku Kerajaan: Keseimbangan Ekonomi Penentu Perpaduan Nasional.

Tahniah kepada UTP di atas kejayaan muncul sebagai JOHAN pertandingan tersebut. Tahniah juga kepada UPSI di atas pencapaian yang meyakinkan selaku Naib Johan. Kejayaan Siti Habibah selaku Pendebat Terbaik pertandingan akhir seharusnya membakar semangat mereka untuk berusaha dengan lebih gigi bagi menempa kejayaan mendatang.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

( Dipetik dari Utusan Malaysia: 26/08/2008 )

UTP juara Debat Merdeka Ala Parlimen

KUALA TERENGGANU 25 Ogos - Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak hari ini muncul juara Pertandingan Debat Kemerdekaan Ala Parlimen antara Universiti-Universiti di Malaysia yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Kejayaan itu dicapai selepas pasukan UTP yang dianggotai Junnyaruin Barat, Mohd. Jairul Abdullah, Mohamad Siddiq Mahyidin dan Mohamad Hazwan Ahamad menewaskan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak pada peringkat akhir pertandingan tersebut.

Pencapaian tersebut membolehkan pasukan UTP membawa pulang piala pusingan, piala juara, sijil dan wang tunai RM5,000 manakala UPSI yang dianggotai Lazaruddin Lahisi, Halimatul Saadiah Mohd. Akhir dan Nurul Nadiah Che Rahim menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Sebanyak 24 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan tersebut yang bermula Khamis lalu.

Hadiah-hadiah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil dan Naib Canselor UMT, Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin.

Ahmad Razif ketika ditemui berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Jabatan Pelajaran negeri supaya program debat kemerdekaan turut diadakan di peringkat sekolah rendah dan menengah pada masa depan bagi menerapkan semangat perpaduan.

''Kita boleh lihat program ini dapat memberi pendedahan mengenai maklumat-maklumat yang dapat membantu meningkatkan perpaduan selain meningkatkan kecintaan kepada negara di kalangan peserta dan penonton,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, program itu juga dapat mewujudkan pelajar yang berketerampilan, bersahsiah dan pandai berhujah selain hebat dari segi akademik.

''Kita berharap program-program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar negeri ini dalam mengubah sifat rendah diri mereka," katanya.

Tiada ulasan: