Selasa, 25 November 2008

Kenapa Takut Dengan Debat - Dayat

Kenapa Takut Dengan Debat?

- Oleh Dayat -

Kenapa rakyat Malaysia -samada majoriti atau segelintir kecil- begitu pesimis dengan budaya berhujah dan debat?

Ini persoalan yang acapkali saya fikirkan tatkala melihat cadangan yang dilemparkan calon Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar tatkala beliau melepasi kuota pencalonan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Dua calon lain memberi respon berbeza. Dr. Khir Toyo bersetuju manakala YB Mukhriz Mahathir kelihatan enggan.

Ada kalangan pimpinan Umno yang menolak, antaranya Mustafa Mohamad, Hishamuddin Tun Hussien, dan Khaled Nordin.

Tetapi ada juga pimpinan Umno yang menyokong seperti Shabery Cheek, Saifudin Abdullah, serta Shahrir Samad.

Saya menyambut baik saranan Khairy dalam hal ini, kerana anjakan paradigma yang sedang beliau usahakan ini sesuatu yang perlu disahut secara positif, bukan secara pesimis.

Sebenarnya budaya debat ini bukan baru, kerana di dalam Malaysia sendiri beberapa siri debat dan diskusi telah banyak diusahakan samada secara terbuka mahupun secara tertutup.

Antara yang saya ingat ialah debat YB Salahuddin Ayub-Datuk Seri Nazri Aziz berkenaan isu Sekolah Agam Rakyat, debat antara Datuk Seri Nazri - YB Lim Kit Siang mengenai isu ISA, dan pastinya yang paling mekar dalam ingatan ialah debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Ahmad Shabery mengenai subsidi minyak.

Saya kira dalam hal perdebatan intra-parti ini, MCA lebih ke hadapan apabila berani menganjurkan debat antara dua calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek dan juga Datuk Donald Lim yang akhirnya digam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sewajarnya, sekiranya Umno mahu serius dalam proses meremajakan parti itu, budaya seumpama ini tidak perlu digusarkan. Malah jika kita lihat dalam budaya politik di Amerika Syarikat misalnya, untuk memilih calon Presiden pun, di dalam parti Demokrat dan Republikan sendiri, di adakan program debat. Contohnya di antara Barack Obama dan Hillary Clinton untuk memberi ruang kepada ahli dan penyokong Demokrat menilai siapa antara kedua mereka yang layak diketengahkan sebagai calon Presiden bagi Demokrat. Demikian juga Mick Huckabee dan John McCain bagi pihak Republikan.

Ada yang mengatakan bahawa 'hal rumahtangga jangan dihebah kepada umum'. Soalnya ialah kematangan dan penerimaan. Jika melihat ia tidak wajar dihebahkan kepada umum, maka ia masih boleh diterhadkan kepada ahli-ahli sahaja. Di Amerika Syarikat, debat antara Obama dan Hillary menjadi tayangan dunia, meskipun ia hanya berkisar mengenai siapa yang perlu perwakilan Demokrat pilih untuk pilihanraya Presiden AS.

Jika hujah bahawa kononnya 'debat membawa perpecahan', 'debat mengelirukan akar umbi', 'debat bawa budaya negatif', ini hujah kolot. Memberikan hujah seumpama ini hanya menunjukkan seolah ahli parti mahupun rakyat bodoh dan jumud, tidak tahu menilai mana intan mana kaca.

Akar umbi parti mahupun rakyat mahir menilai antara hujah yang mampu direalisasikan ataupun hujah yang berdegar-degar tetapi isinya kosong.

Biarlah kalangan calon berdebat, kerana kelak, sekiranya hujah mereka berjaya memenangkan mereka, rakyat dan akar umbi lah yang akan melihat track record calon yang mereka pilih berdasarkan hujah,prinsip,visi dan misi yang dilontarkan melalui debat itu.

Jika yang hebat berdebat itu 'kosong' tindakannya, maka wajarlah dia dijatuhkan.Tetapi jika dia boleh berjaya untuk kekal meskipun 'cakap tak serupa bikin', itu bisa menimbulkan persoalan. Samada memang akar umbi yang benak atau 'poket yang sentiasa tidak luak'.

Tuntasnya, saya tidak nampak apa sebab mana-mana pimpinan politik yang tidak mahu berdebat. Debat bukan bertujuan mencari salah, sebaliknya merungkai kekeliruan dan mencari penyelesaian. Kata mendiang Hubert H. Humphrey, "freedom is hammered out on the anvil of discussion, dissent, and debate."

Melainkan, keengganan untuk berdebat itu mungkin disebabkan oleh tidak mahir bercakap di khalayak, tiada idea untuk dijadikan saham untuk memimpin perubahan, ataupun hanya sekadar menangguk di air keruh di sebalik krisis yang melanda.

Dayat

..................................................................................

Dayat atau nama penuhnya Mohd Hidayat Mohd Sauffi merupakan Alumni Debat yang cukup popular dengan karektor 'ala-ala politician' dan sememangnya dikagumi oleh juniornya khususnya di UiTM Melaka malahan seniornya termasuklah saya yang meneliti pencapaiannya sedari awal pembabitannya. Antara pencapaian cemerlangnya adalah menjadi Naib Johan Debat Naib Canselor UiTM ketika mewakili UiTM Melaka pada tahun 2004 dan menjadi Naib Johan Debat DiRaja pada tahun 2005.

Tiada ulasan: