[Dipetik dari Utusan
UiTM Juara Debat Alam Sekitar IPT
Debat tahunan peringkat akhir yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sebelum ini diungguli UIAM pada 2005, 2006 dan 2007.
UiTM yang membawa pulang hadiah Piala Pusingan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, wang tunai RM8,000 dan sijil penyertaan itu diwakili oleh Shahrulnizam Ahmad, Farah Sabirin, Mohd. Nizamuddin Abd. Hamid dan Zarul Azhar Nasir (simpanan).
UIAM yang meraih hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan itu tetap berpuas hati apabila seorang pendebatnya, Farhan Nor Diyana Samsudin terpilih sebagai pendebat terbaik sekali gus membawa pulang Piala Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan wang tunai RM1,500.
UIAM sebagai pasukan pencadang debat bertajuk 'Kita cukup serius menangani isu alam sekitar' itu turut diwakili oleh Muhammad Izzat Md. Jonid, Syazwan Shuhaimi dan Mohd. Firdaus Zainal Abidin (simpanan).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Senator Datuk Maznah Mazlan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi mewakili Menteri, Datuk Douglas Unggah Embas.
Maznah semasa berucap pada majlis itu berkata, pendedahan mengenai kesedaran alam sekitar kepada generasi muda perlu diperluaskan dalam usaha mengurangkan kadar pencemaran alam pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan