Strategi Kapitalis Barat Makan Diri Sendiri RUNTUHNYA Tembok Berlin pada akhir 1980-an dan Kesatuan Soviet pada awal 1990-an
menandakan bermulanya satu sahaja entiti tunggal empayar dunia baru iaitu Amerika yang bertunjangkan kerakusan sistem kapitalis yang bertopengkan alasan demokrasi dan keamanan. Dunia di awal 1990-an merupakan tempoh yang amat makmur bagi negara-negara Asia Timur di mana enjin pembangunan yang berasaskan industri perkilangan menjadi penggerak utama menjana kekayaan baru Asia. Kemakmuran Asia setelah pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia pada pertengahan 1980-an sedikit tergugat dengan campur tangan Amerika dalam Perang Teluk yang pertama sehingga mengakibatkan gelombang kenaikan harga minyak ketika itu kerana kebimbangan spekulasi perang. Namun pada ketika itu, Asia Timur dan dunia masih mampu menghadapi gelombang kenaikan harga minyak. Ini kerana harga bahan makanan ruji masih rendah dan tidak menjejaskan keupayaan ekonomi semua negara kecil. Cubaan sistem kapitalisme untuk menguasai ekonomi dunia melalui alasan peperangan menemui kegagalan kerana negara-negara kecil dunia mulai dapat mencium taktik tersebut dan mereka mulai menguar-uarkan pendedahan usaha Amerika untuk menjadi Polis Dunia atau Order Dunia Baru Unipolar. Setelah usaha kapitalis Amerika atau lebih tepat lagi usahawan kapitalis barat yang berpengkalan di Amerika didedah taktik dan terbongkar, mereka beralih strategi dengan mencanangkan konsep dunia tanpa sempadan atau proses globalisasi. Di sebalik konsep globalisasi dagangan, sebenarnya tersembunyi mekanisme tertentu yang membolehkan syarikat tempatan dikuasai oleh syarikat negara asing di atas nama liberalisasi dagangan. Selain itu, globalisasi juga membolehkan negara kuasa besar seperti Amerika memonopoli pengeluaran bahan makanan seperti gandum, jagung, padi, kekacang dan kapas untuk pasaran dunia dimana mereka menyekat negara miskin untuk mensubsidi pengeluaran makanan kepada petani tempatan tetapi petani Amerika menikmati subsidi tinggi yang mengakibatkan harga produk lebih rendah di pasaran kuno. Dalam masa yang sama kerugian pemberian subsidi yang sedikit itu ditampung dengan keuntungan bertrillion dolar hasil jualan perniagaan senjata dan teknologi maklumat mereka. Kemuncak kepada cubaan penguasaan ekonomi negara dunia oleh kapitalis barat adalah usaha menjatuhkan beberapa negara Asia Timur yang strategik di segi ekonomi dan geografi. Suatu tarikh telah dipilih iaitu pada pertengahan 1997, berkemungkinan juga penyatuan semula Hong Kong kepada tanah besar China pada tahun itu boleh dijadikan kambing hitam untuk disalahkan mengakibatkan ekonomi Asia runtuh. Kerakusan kapitalis barat di atas perbuatan jahat itu diselindungkan dengan media massa barat memomokkan secara terancang isu kronisme, rasuah dan nepotisme sebagai punca keruntuhan ekonomi negara-negara tersebut. Strategi penarikan modal jangka pendek secara besar-besaran mendedahkan kelemahan perdagangan secara maya dan membolehkan nilai mata wang sesebuah negara dijatuhkan dengan teruknya. Sekali lagi, perbuatan buruk kapitalis barat yang bertopengkan nama globalisasi didedahkan kepada masyarakat dunia sebagai satu usaha penjajahan ekonomi bentuk baru secara tegas disuarakan oleh Malaysia di persidangan-persidangan antarabangsa.
Tidak Kesampaian Selepas tahun 1997, usaha kapitalis barat tidak terhenti setakat itu sahaja. Usaha mereka untuk menguasai sepenuhnya negara-negara baru industri di Asia tidak kesampaian kerana taktik terbaru itu telah didedahkan, malah beberapa negara pernah mengugut untuk menggunakan formula Malaysia sekiranya ekonomi mereka diserang. Peluang keemasan bagi pihak kapitalis barat untuk mengaut keuntungan berganda pun tiba dengan tercetusnya Perang Teluk Kedua akibat momokan memerangi keganasan. Strategi mereka kali ini adalah spekulasi dagangan harga minyak dunia. Ketidakstabilan akibat perang dijadikan alasan utama oleh mereka untuk memeras kekayaan negara-negara penguna minyak yang rata-ratanya negara miskin dan sedang membangun. Kenaikan harga minyak dunia semenjak pencerobohan Amerika terhadap negara Afghanistan dan Iraq begitu dimanipulasikan sehingga mencecah ke tahap AS$150 setong pada tahun 2008 disertai dengan kenaikan melampau harga bahan komoditi makanan begitu menjerut ekonomi negara-negara dunia ketiga. Pernah disatu ketika, di kala negara-negara pengeluar minyak mengumumkan penambahan pengeluaran minyak mentah di musim panas, harga minyak tetap mengalami kenaikan akibat spekulasi tersebut. Laba keuntungan berganda yang dikaut melalui kenaikan harga minyak dan komoditi makanan bukanlah satu keuntungan jangka panjang yang terus berkekalan kerana kemelut kenaikan tersebut telah mengakibatkan majoriti negara di dunia mengamalkan dasar berjimat-cermat kerana lebih menumpukan kepada perbelanjaan bahan api dan makanan. Secara tidak langsung permintaan terhadap penawaran barangan bukan makanan, elektrik, teknologi maklumat dan persenjataan telah jatuh merudum dengan teruk sekali sekali gus menguncupkan ekonomi Amerika secara tidak disedari. Sekalipun, segelintir kapitalis barat mendapat keuntungan besar di bidang industri bahan api dan bijirin makanan, perolehan keuntungan di bidang lain yang menjadi punca pendapatan majoriti penduduk Amerika yang lainnya adalah sebaliknya. Maka itu, penyusutan ekonomi Amerika itu menukar bentuk dengan kemuflisan bidang subprima gadaian rumah majoriti rakyat Amerika kerana keupayaan ekonomi rakyat Amerika sendiri telah jatuh merudum dengan teruknya. Begitulah rentetan peristiwa-peristiwa utama yang berhubung-kait rapat dengan usaha kapitalis barat yang penuh kerakusan mengaut keuntungan tanpa memikirkan kebajikan manusia sejagat dan akhirnya menjerut diri mereka sendiri. Dan kini mereka hanya menunggu masa untuk dikuburkan dalam lipatan sejarah manusia sahaja.
- Pat -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan