Selasa, 25 November 2008
P.R.K. (Pilihanraya Kampus) - Oleh Uzair
Ini bukan cerita perjuangan sebuah parti politik kerana kedudukan huruf K berada di belakang bukan di pertengahan. Dan bukan juga tentang seseorang yang lantang menulis di blog kerana huruf R berada di pertengahan akronim bukan di permulaan. Mungkin ramai yang tidak berapa mengerti apa yang saya maksudkan ini. Bagi yang dah tahu, anda boleh lanjutkan pembacaan. Kepada yang kurang mengerti, berubahlah jadi insan yang lebih cakna. Pilihanraya kampus (PRK) bukan macam pemilihan ketua darjah. Masa zaman sekolah rendah, kita sengaja pilih kawan kita bukan kerana kredibiliti beliau sebagai pemimpin, kita pilih sebab saja nak kenakan dia. Calon ketua darjah pula malu-malu nak pegang jawatan, takut nanti kawan kata gila kuasa. PRK ni memang sangat berbeza, kita bukan nak cari calon macam ketua darjah kita dahulu, kita nak orang yang cukup komited dan berwibawa dan segala-galanya lah yang terbaik dari dia. Paling tidak boleh diterima oleh kita jika ada calon yang menawarkan diri untuk bertanding tapi tak berani nak menonjolkan diri. Masih ada perangai zaman sekolah yang terbawa-bawa hingga kini. Mungkin berkat menjadi Ketua Darjah dari darjah satu hinggalah tamat STPM. Waktu hari penamaan calon yang paling tidak boleh saya lupakan, waktu inilah kita boleh lihat siswa-siswi kita akan menjadi manusia yang paling teliti dalam dunia. Mereka akan membaca syarat-syarat pencalonan dengan teliti kerana sebarang kesilapan yang boleh mendatangkan keraguan, pencalonan akan ditolak jika mendapat bantahan. Selalunya yang membuat bantahan ni penyokong calon lain. Niat mereka bukannya apa, nak memastikan calon mereka boleh menang tanpa bertanding lah tu. Macam-macam gelagat boleh kita jumpa. Nama yang sepatutnya ditulis dengan huruf besar mendapat bantahan kerana huruf yang ditulis ialah ‘m’ bukannya ‘M’. Bila diteliti kembali borang pencalonan, rupa-rupanya kawan tu tulis huruf ‘M’ bentuknya macam huruf ‘m’ dan diperbesarkan. Bezanya yang satu tu bersegi, dan satu lagi tak bersegi. Dah memang gaya kawan tu menulis begitu, nak buat macam mana. Kan bagus jika kita semua jadi teliti macam hari penamaan calon. Tapi mesti ramai yang berdoa supaya tidak ada pensyarah kita yang terlalu teliti begini ketika menanda kertas ujian kita. Selesai kelam-kabut calon-calon di hari penamaan calon, calon PRK perlu fikir strategi untuk mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang. Saya dapat rumuskan ada dua cabaran utama. Yang pertama ialah bagaimana untuk memastikan siswa-siswi turun beramai-ramai menjalankan tanggung jawab mereka membuang undi. Zaman sekarang ni mereka terlalu selesa di asrama, itu belum kira di rumah-rumah sewa yang entah di ceruk mana letaknya. Ditambahburukkan lagi dengan tabiat yang tak ambil peduli, lantaklah apa nak jadi, surat khabar pun jarang dibeli, semua nak harap subsidi, nak kesah apa dengan perkembangan terkini, yang penting aku dengan gaya tersendiri. Cabaran yang kedua seperti biasalah, fikirlah macam mana nak menang. Gantunglah poster sana-sini, panjat pokok tinggi-tinggi, buat kempen hingga dinihari, taburlah janji tapi jangan sampai menjerat diri, kelak dipersoal nun diakhirat nanti.
Uzair
..................................................................................
Uzair atau nama penuhnya Uzair Rusli merupakan Alumni Debat daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Pelajar yang pintar dan sangat dikenali sebagai pendebat yang berani dan cekal di zamannya. Di sepanjang pengajiannya di UMT beliau pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pelajaran Diraja 2007/08, Anugerah Naib Canselor 2008, Anugerah Pelajar Terbaik FMSM 2008,Mencapai Anugerah Dekan setiap semester, dan di dalam Debat beliau dan pasukannya pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pasukan Harapan Debat IPT MADUM 2006
Uzair
..................................................................................
Uzair atau nama penuhnya Uzair Rusli merupakan Alumni Debat daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Pelajar yang pintar dan sangat dikenali sebagai pendebat yang berani dan cekal di zamannya. Di sepanjang pengajiannya di UMT beliau pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pelajaran Diraja 2007/08, Anugerah Naib Canselor 2008, Anugerah Pelajar Terbaik FMSM 2008,Mencapai Anugerah Dekan setiap semester, dan di dalam Debat beliau dan pasukannya pernah dianugerahkan dengan Anugerah Pasukan Harapan Debat IPT MADUM 2006
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan