Rabu, 26 November 2008

Debat, “Dia“ dan Ego – Oleh Pat

Debat, “Dia“ dan Ego – Oleh Pat

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai banyak peluang dan masa untuk menulis dan dikongsi bersama. Bukan kerana sombong ataupun tidak memberi komitmen tapi tuntutan semasa (seperti pernah kudengar ayat ini) merujuk keadaan ekonomi semasa (Global Financial Crisis) yang perlu dipantau dengan lebih teliti (memang itu kerja saya ketika ini) membuatkan saya jarang ke pejabat dan melayari internet. Namun hati masih lagi setia mengikuti perkembangan debat tanahair (itupun jika kebetulan dimaklumkan melalui adik-adik junior di UiTM Segamat).

Seingat saya debat yang paling konsisten dan paling ditunggu-tunggu pastinya Debat Piala di Raja,yang masih bertahan dan wujud sehingga kini (diperkenalkan sejak 1995). Debat Piala di Raja 2005 menjadi memori peribadi yang disimpan abadi dalam kotak saya meskipun hanya berkasi di kerusi simpanan. UiTM buat julung kalinya berkasi di pentas perlawanan akhir menentang UPM dengan usul yang paling mencabar dalam hidup pernah saya temui iaitu “Rumput Lebih Teguh Dari Cengal”. Berbekalkan tekanan dan beberapa kesilapan teknikal oleh kami (pasukan debat UiTM) dan pihak pengurusan akhirnya pasukan saya (UiTM Senior) kalah bergaya (harap-harap begitulah).Kesilapan mengumumkan johan pada hari itu sudah pastinya mengaibkan nama pelbagai pihak terutama sekali setelah kami sudah menapakke atas pentas menerima hadiah dan bergambar kenangan akan kemenangan kami. Siapa yang patut dipersalahkan? Pihak juri yang arif lagi bijaksana (ayat standard pidato zaman sekolah) atau pihak pengurusan yang terselah umum atau salah pendebat-pendebat yang berdebat seperti hilang arah ketika itu? Fikir-fikirkanlah…(sekian untuk Debat Piala di Raja)

Alumni bekas-bekas pendebat

Justeru untuk analisa tulisan kali pertama khas untuk alumni debat ini saya mulakan dengan gelaran alumni debat. Asasnya tidak menjadi masalah pada saya jika nama atau panggilan apa sahaja bakal diberikan untuk pertubuhan alumni debat ini. Pastinya selagi jiwa debat dihati, InsyaAllah saya akan menyumbang selagi berpeluang berbuat begitu. Harapan saya kali ini, biarlah Alumni Debat kali ini berjaya mengumpul kembali bekas-bekas pendebat, tua dan muda untuk kembali ke dunia lama mereka, bagi mencurahkan kembali ilmu dan pengalaman yang pernah dikuasai mereka satu ketika dulu. Informasi-informasi bekas-bekas pendebat yang lengkap dan menyeluruh akan dapat dikumpulkan dan dengan itu, akan memudahkan jemputan-jemputan sebagai hakim pertandingan debat (itu pun kalau ada penganjur-penganjur yang sudi menjemput dan memerlukan khidmat kami), seminar debat, motivasi debat, kejurulatihan dan paling penting akan mengembalikan silaturrahim yang telah lama terputus dari kalangan bekas-bekas pendebat.

Mutu Debat 2007-2008

Setelah meninggalkan dunia perdebatan intarvisiti, saya bukanlah orang yang tepat untuk untuk mengulas dan mengupas tentang mutu perdebatan kini. Zaman dah berubah, cara dan aplikasi berdebat juga sudah berubah. Jangan salahkan pendebat-pendebat muda jika khidmat nasihat mahupun panduan yang munkin ingin dikongsi bekas-bekas pendebat senior dan berjaya tidak lagi diperlukan mahupun dihargai. Jadi seperti komen yang selalu diberi oleh artis tempatan (seperti Norman Hakim dan ’penyelamatnya’) ialah NO KOMEN!

Dia

Apa yang akan anda soroti seterusnya ini bukan berunsur fitnah, perasaan tidak puas hati atau luahan perasaan pada sesiapa tetapi ini memang hakikat yang selalu terjadi pada saya sehingga saya tidak faham apa puncanya. Pernah satu ketika dahulu semasa Debat Sains dan Teknologi di UXX, saya diselar seorang pendebat Universiti xxxxx bahawa saya merupakan orang yang telah menyebabkan kekalahan pada pasukan UiTM ketika itu,sehingga kami gagal merangkul gelaran Johan pertandingan Debat Sains dan Teknologi pada tahun 200X. Tidak mengapa saya terima sebagai kritikan membina mungkin kerana dia’ boleh dikatakan insan terpilih yang paling banyak beraksi di pentas akhir. Berapa kali dia merangkul gelaran Johan? Hem..saya kurang pasti tapi mungkin juga dia terlalu hebat sehingga boleh membuat rumusan begitu tentang saya baru sahaja dikenali (tapi sekarang,pastinya dia sudah tidak mengenali saya lagi). Tetapi mulut dan kata-kata seorang pendebat ini memang berbisa dan dek kerana peribadi beginilah pendebat-pendebat selalu dikenali sebagai individu yang mempunyai ego tinggi.

Saya bukanlah pendebat yang baik jauh sekali boleh dijadikan idola pendebat-pendebat universiti lain, namun kali kedua terpilih mewakili UiTM (selepas Debat Sains dan Teknologi) ialah Pertandingan Debat Piala Di Raja 2005. Berjuang bersama Diana (memang pendebat wanita yang paling unggul), Nizamuddin (Mon) yang sudah tidak terbilang kemenangan yang diperolehinya dan Hidayat (yang terbaik pernah saya perolehi sebagai rakan sepasukan sepanjang karier debat saya). Pada pertandingan Debat Piala di Raja 2005 ini saya tidak ingat adakah saya bertemu dia ataupun tidak namun saya akan ingat detik dia mengeluarkan satu lagi kata-kata yang mungkin agak pedih ataupun ”ZASSS” semasa Pertandingan Debat IKIM. Apa yang dia katakan? Saya dikatakan terlalu terikut-ikut akan gaya debat Diana (dewi debat kita)! Mana mungkin saya dapat meniru gaya seorang dewi. Jika benar sudah pastinya saya juga sudah menjadi dewi debat sekarang ini serta dikagumi semua. Dalam hati ini tuhan sahaja tahu bagai mahu ditanya sahaja pada dia kenapa mesti selalu diberi komen begitu setiap kali saya bertemu dengannya di mana-mana pertandingan debat intarvisiti. Kalaulah benar bagai didakwanya, pelik bin ajaib lah jurulatih UiTM ketika itu, kerana memilih saya jika untuk memalukan UiTM. Tetapi Pertandingan Debat IKIM adalah pertandingan yang paling akan saya kenang sepanjang hayat. Bukan kerana telah diselar kali kedua oleh dia tetapi kerana inilah pasukan terbaik saya. Justeru, terima kasih daun keladi, entah bila kita akan bersatu lagi kepada Zuhaini, Halis dan Hidayat. Buat kali pertama saya merasakan kami bersatu jiwa dan raga tanpa sebarang tekanan (walaupun ada sedikit krisis keyakinan diri antara pendebat) dalam menghadapi satu pertandingan debat berunsurkan keagamaan. Cabarannya mungkin lebih kerana segala hadith dan potongan ayat Al-Quran perlu dihafal, dibaca dan disebut dengan baik oleh pendebat-pendebat. Tetapi perlawanan dengan UIAM merupakan perlawanan yang paling memuaskan hati meskipun kami kalah ketika itu. Akhirnya UiTM mendapat tempat ketiga (mungkin pencapaian yang biasa sahaja bagi pendebat-pendebat lain). Baiklah, tentang diri ’dia’ kita lupakan sahaja semoga dia bahagia dengan hidupnya dan egonya.

Patma

.....................................................................................

Patma atau nama penuhnya Fatmah Faisol merupakan Senior Executive, di IT and DFI Supervision Department, Bank Negara Malaysia. Beliau merupakan seorang bekas pendebat yang begitu pemalu pada dasrnya namun cepat dan rajin belajar. Saya mule mengenali beliau ketika beliau hanya menjadi pengikut rombongan Team Debat Segamat di Debat Piala Sultan Zainal Abidin di Terengganu pada 2002 tak silap saya. Tetapi daripada detik itu beliau mempertingkatkan prestasi dari masa ke semasa sehingga dikenali oleh Alumni. Saya dapat melihat perkembangan beliau dari awal sehinggalah ke peringkat menjadi pendebat utama UiTM. Jangan bimbang Pat, saya sentiasa menyanjungi dan mengiktiraf bakat dan kebolehan anda. Tak kiralah walau apa pun yang diperkatakan oleh si ’dia

Tiada ulasan: