Selasa, 25 November 2008

Isu Semasa & Perspektif Perundangan - Oleh Neff

ISU SEMASA DAN PERSPEKTIF PERUNDANGAN - Oleh Neff

Assalamualaikum, suka sekali untuk saya memulakan penulisan saya dengan mengambilkira aspek PERUNDANGAN dan PENGUATKUASAAN. Kerana kedua-duanya saling memerlukan bagi mebolehkan ia bermakna.

Undang-Undang adalah peraturan hidup yang berkata-kata. Undang-undang berkata-kata melalui bahasanya yang tersendiri iaitu bahasa undang-undang. Bahasa itulah yang ditatap pada asalnya di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen dalam proses membuat sesuatu akta atau undang-undang itu. Setiap perkataan, se-tiap frasa dan setiap ayat sesuatu akta itu dijadikan panduan atau arahan mandatori baik kepada hakim mahupun kepada peguam dan para penguat kuasa.

Bila teks sesuatu rang undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen menjadilah ia undang-undang atau akta negara. Walaupun secara menyeluruh undang-undang itu berbentuk kanun bertulis, masyarakat Melayu pernah dibendung undang-undang lisan melalui pepatah-petitih, perbilangan dan kata-kata adat. Cuma, peraturan seperti ini begitu mudah dipertikaikan maksud dan pemakaiannya lantaran peraturan atau undang-undang adat seperti itu tiada mempunyai kuat kuasa yang berasas kepada daulat-negara (state sovereignty).

Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia. Negara yang ditadbir mengikut lunas undang-undang yang mengimbangi kuasa serta fungsi kehakiman, legislatif dan eksekutif dikatakan tergolong kepada negara rule of law atau negara yang tertakluk kepada kedaulatan undang-undang. Memang, ada kalanya dalam sejarah undang-undang diperbuat bagi tujuan-tujuan yang tidak semestinya murni seperti yang pernah dilakukan oleh Nazi di Jerman di zaman diktator Hitler memerintah tujuh dekad yang lalu. Pada zaman ini taktik sedemikian sudah menghilang.

Bahasalah yang menjadi penyampai maksud dan penentu kepada kuatkuasa sesuatu undang-undang itu. Jika kabur bahasanya maka kaburlah maksud dan erti peruntukan sesuatu undang-undang itu. Justeru para juri dan penggubal undang-undang sentiasa berhati-hati tentang bahasa yang digunakan dalam sesuatu undang-undang. Peguam pula sentiasa berkebolehan mempertikai sesuatu perkataan yang terkandung di dalam sesuatu peruntukan undang-undang itu.

Sifat tepat atau persis memang satu-satunya ciri undang-undang. Para hakim akan cuba memberi tafsiran atau definisi yang paling dekat dengan konsep keadilan dan yang diduga paling sesuai dengan maksud yang diperbuat Parlimen. Dalam keadaan beginilah undang-undang negara termasuk Perlembagaan Persekutuan beroleh proses interpretasi dan penguatkuasaannya. Pihak-pihak yang tidak puas hati dengan maksud dan ketepatan sesuatu peruntukan itu lantas mencabarnya di mahkamah.

Pada masa yang sama, mereka yang tidak pedulikan keluhuran undang-undang lantas mencabar melalui gerombolan politik jalanan atau politik sorak-sorai. Ada pula yang berpendapat bahawa tindakan seperti itu membawa keseronokan kerana kononnya `kuasa rakyat' sudah ada bersama mereka. Turutan pendapat ini ialah undang-undang negara yang mewajibkan kebenaran polis untuk berhimpun di bawah Akta Polis tidak perlu dipatuhi.

Bila ini berlaku bererti undang-undang negara sudah diketepikan. Mulalah didakwa bahawa undang-undang tertentu bersifat zalim sedangkan ia diperbuat oleh rakyat sendiri untuk ketenteraman awam. Bila sudah begitu kerap pencabulan seperti itu berlaku dan dilakukan, undang-undang tidak bermakna lagi. Kacau-bilau berlaku kerana ketenteraman awam pada masa itu berada di luar kawalan pihak polis dan lain-lain agensi penguat kuasa.

Undang-undang hanya bermakna bila kehendak dan arahannya dipatuhi. Tinggal lagi jika sesuatu undang-undang itu tidak disetujui, rakyat boleh membuat bantahan melalui proses demokrasi yang dihalalkan yang biasanya diterjemahkan melalui pilihan raya. Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.

Sampah sarap yang tidak dikutip oleh pihak berkuasa tempatan mengikut jadual yang diperaturkan adalah satu contoh penyelewengan dari segi undang-undang. Ceramah yang dibuat tanpa kebenaran polis di bawah Akta Polis juga adalah pencabulan. Dan pada perenggan yang paling atas - mereka yang disyaki membunuh jika diberi ikat jamin dan dibebaskan juga berkeadaan yang sama kerana kes bunuh tidak dibenarkan di bawah Kanun Acara Jenayah untuk dibenarkan ikat jamin. Bezanya cuma terletak pada pihak penguat kuasa yang terlibat. Sampah sarap yang tidak dikutip merupakan kesalahan kepada pihak berkuasa tempatan atau kontraktor yang gagal menjalankan tugas awam mereka; mereka yang tidak mahu mendapatkan kebenaran polis sebelum berceramah umum adalah bersalah kerana enggan mematuhi undang-undang ketenteraman awam; dalam kes pembunuh yang disyaki itu yang dipersoalkan ialah asas-asas pertimbangan penguat kuasa yang membenarkan ikat jamin berkenaan - sama ada polis atau pendakwa.

Dalam ketiga-tiga kes ini tampak dengan jelas satu realiti - iaitu antara undang-undang dan penguatkuasaan sering berlaku pertikaian dan masalah pelaksanaan kerana antara undang-undang dan penguatkuasaan tidak selari.

Sesuatu perbuatan itu jelas melanggar undang-undang tetapi rakyat tampak perbuatan itu lepas begitu sahaja. Dalam kemelut seperti inilah perlu disoalkan: Apa akan jadi bila undang-undang tidak dikuatkuasakan, atau jika dikuatkuasakan, tidak dikuatkuasakan sepenuhnya? Apakah akibatnya bila rakyat merasai bahawa kuat kuasa undang-undang itu sudah tidak dirasai lagi? Akan selamatkah mereka daripada keadaan yang kacau-bilau? Kenapakah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan? Sejak akhir-akhir ini begitu banyak peristiwa yang menonjol yang pada hakikatnya mempersoalkan undang-undang dan penguatkuasaan itu sendiri.

Kita ada kes-kes tanah milik yang tidak dibayar cukai bertahun-tahun. Kanun Tanah Negara kata kes-kes seperti itu perlukan tindakan kerajaan negeri untuk mengambil alih tanah itu. Sungai-sungai kita semacam muntah dengan najis dan kotoran tetapi tidak seorang pun yang didakwa sabit membuang sampah sarap ke dalam sungai. Undang-undang alam sekitar kita melarang membakar secara terbuka, membina bangunan di lereng bukit, memotong bukit-bukau - tetapi kegiatan-kegiatan ini semua terus berlaku.

Saman kesalahan lalu lintas pernah dapat layanan diskaun; pendatang tanpa izin berleluasa membina perkampungan sendiri di merata tempat yang mereka sukai tanpa apa-apa tindakan; di internet orang berbohong, membenci dan memfitnah; agama Islam disalahguna lalu membawa perpecahan masyarakat yang amat ketara. Ada pula kes banduan yang boleh duduk di luar penjara berbulan-bulan atas alasan sakit sedangkan `sakitnya' diperakukan tidak luar biasa. Layanan seperti ini tidak pernah diberi kepada mana-mana pihak terdahulu daripada ini walau setinggi manapun pangkat dan kedudukannya.

Bila undang-undang sudah berada di tahap ``lebih kurang'' dari segi penguatkuasaan, sesebuah negara itu boleh dikatakan sudah berada dalam keadaan hubaya-hubaya sekalipun belum dalam keadaan bahaya. Kerajaan yang dipilih rakyat dalam bahaya dan rakyatnya juga dalam bahaya. Bahaya kerana segolongan rakyatnya sudah mengambil tindakan undang-undang sendirian. Keselamatan dan ketenteraman awam merupakan dua intisari kenegaraan yang tidak boleh diletakkan atas budi bicara `agak-agak.' Apa yang dituntut oleh undang-undang yang diperbuat oleh rakyat sendiri mesti dikuatkuasakan.

Dalam konteks inilah semua penguat kuasa undang-undang perlu bersatu dan tegas melaksanakan kehendak undang-undang, terutama undang-undang yang melibatkan ketenteraman awam. Perasaan peribadi atau kumpulan tidak boleh dijadikan asas perhitungan bila berhadapan dengan tuntutan keamanan dan kesejahteraan umum. Kita tidak perlu menjenguk jauh untuk belajar daripada keruntuhan bila penguatkuasaan undang-undang sudah tidak lagi diutamakan. Jiran Malaysia yang tegas ada - mereka berjaya. Jiran Malaysia yang ``lebih kurang dan bisa diatur'' juga ada - mereka sedang dilanda sengketa yang sebahagian besarnya berpunca daripada tumbangnya undang-undang akibat kelemahan penguatkuasaan. Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang. Jangan kita sampai seperti ke tahap yang dikatakan perbilangan silam: ``Berundang-undang mahir, bila bicara kalah.''

Kenapa sering didengar kisah pemandu Malaysia yang menunggu sampai ke Johor Bahru baru hendak melentingkan puntung rokoknya di jalan raya? Jawabnya ialah mereka tahu benar di sebelah sini penguatkuasaan undang-undang antisampah berada di peringkat ``lebih kurang'' lantaran sudah bertahun-tahun undang-undang itu tidak dikuatkuasakan de-ngan tegas. Masa bertindak sudah sampai. Masanya ialah kini.

Hanif bin Osman (Neff)

( Penghargaan buat Artikel Undang-Undang Yang Dikarang oleh Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim )

.............................................................

NEFF atau Hanif Osman berusia 31 tahun, dilahirkan pada 20 Jun 1977, berlatarbelakang pendidikan Sekolah Rendah di SK Paroi, kemudiannya di SMAP Labu. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Pengkhususan Jurisprudens). Di zaman Universiti beliau aktif berdebat dan pernah dilantik menjadi Presiden Kelab Usahawan, naib Presiden Kelab Debat Intelek UM, Exco Tugas-Tugas Khas Persatuan Undang-Undang UM. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Fakulti Undang-Undang UM. Kini beliau merupakan Pelatih Dalam Kamar di Firma Yong & Associates dan juga merupakan Penasihat Undang-Undang I.O. Consultant. Beliau masih lagi bujang dan memiliki hobi melancong dan berdebat. Diantara pengalaman program yang pernah dikendalikan; menjadi fasilitator Program Motivasi di Kem Safa, Merab, Bangi, menjadi fasilitator Program Kecemerlangan Akedemik di UiTM Jengka, Pahang dan pernah juga dipilih menjadi fasilitator Program Motivasi di Kem Danau Tok Uban, Kelantan

Tiada ulasan: