Selasa, 25 November 2008

Politik Dahulu & Sekarang - Oleh usop.com.my

POLITIK DAHULU DAN SEKARANG ( Oleh usop.com.my )

Sebagai rakyat Malaysia, penulis bersyukur kerana banyak yang boleh dilakukan dengan aman dan selesa di negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ini. Demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan nampaknya jauh lebih baik daripada sistem pemerintahan di beberapa buah negara lain.

Sebagai sebuah negara demokrasi kita dibenarkan untuk berbeza pandangan, tetapi bukan luang untuk kita berpecah. Jika perbezaan tidak dapat dielakkan ia hanyalah untuk perkara-perkara kecil yang tidak melibatkan perkara dasar yang boleh menentukan jatuh bangunnya negara. Dalam hal yang menentukan keamanan dan keselamatan negara umpamanya, kita tidak ada pilihan lain, selain bersepakat untuk bersetuju atau tidak bersetuju. Meskipun demokrasi sering dilaung-laung sebagai alat untuk mencapai kebebasan namun di Malaysia demokrasi tidak lebih sebagai alat yang digunakan untuk memperkukuh kerajaan dan memajukan negara sebaik-baiknya.

Bagi kita kebijaksanaan lebih penting daripada demokrasi itu sendiri. Demokrasi boleh bertindak sebagai pemusnah jika jatuh ke tangan pemimpin yang tidak mampu mengendalikannya. Justeru dengan kebijaksanaan pemimpin negara, kita tidak pernah menjadi hamba kepada demokrasi. Sebaliknya demokrasi digunakan dengan penuh hati-hati agar ia tidak sampai menjadi alat untuk memuaskan nafsu sekumpulan kecil manusia dan menafikan kumpulan majoriti. Kebijaksanaan kita menyesuaikan demokrasi dengan keadaan semasa menjadikan Malaysia sebuah negara yang dapat ditadbir dengan adil, kuat dan stabil. Bagi Malaysia ada sesuatu yang lebih penting daripada demokrasi itu sendiri, iaitu keamanan.

Tidak ada maknanya kita menjuarai negara demokrasi sedangkan keadaan negara kucar-kacir. Cara yang kita pegang selama ini dalam memutuskan sesuatu perkara atau menyelesaikan sesuatu masalah ialah melalui perundingan. Itulah cara yang kita amalkan selama ini yang telah menyebabkan kita membawa negara kita ke tahap ini. Inilah formula Malaysia yang tidak ada tolok bandingnya. Demokrasi ala-Malaysia mungkin tidak disenangi oleh Barat yang mengamalkan demokrasi liberal yang lebih mementingkan kebebasan individu.

Kita percaya akan hak setiap individu dari segi perundangan dan perlembagaan, tetapi dari segi amalannya kita tidak pernah membukakan ruang yang seluas-luasnya kepada kebebasan individu per se apatah lagi kebebasan mutlak. Kebebasan ada batasnya. Menurut teori X oleh McGregor, jika manusia diberi peluang mereka akan melakukan menurut cara yang mereka suka sekalipun itu melanggar undang-undang.

Burung yang selalu dijadikan lambang kebebasan oleh para pelukis pun sebenarnya tidak bebas. Apabila burung hendak makan ia hinggap di dahan kayu atau turun ke tanah kerana di situ ada ulat, serangga atau cacing. Begitu juga dengan manusia. Setiap orang sebenarnya diikat sama ada oleh agamanya, kepercayaannya atau undang-undang. Sebagai contoh, kita mungkin berminat untuk terus bekerja, tetapi agama menyatakan kita mesti berhenti kerana kita perlu sembahyang.

Seseorang pelajar mungkin berminat untuk bangun lewat, tetapi peraturan sekolah menentukan supaya mereka mesti sampai ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Kita berminat dengan permata yang berjuta-juta ringgit di dalam kotak kaca, tetapi undang-undang melarang kita mendapatkannya dengan jalan mencuri. Kita mungkin berminat kerja terus menerus, tetapi tanggung jawab kita sebagai bapa atau ibu menghalang kita berbuat begitu. Begitulah keadaan kita tidak benar-benar bebas. Kita tidak bebas menentukan apa yang sebenarnya kita inginkan, sebaliknya kehendak kita tertakluk kepada agama, undang-undang, peraturan, etika dan tanggungjawab.

Sebab itu kita bertanggung jawab atas apa yang kita lakukan, dan sebagai balasannya kita berhak untuk diberikan ganjaran atau hukuman daripada apa yang kita lakukan. Satu-satunya kelemahan demokrasi jika ada ialah ia selalu mewujudkan pemerintahan gerombolan iaitu wujud satu kumpulan orang yang terlampau berkuasa, dan satu kumpulan yang lebih besar terpaksa akur sahaja. Gerombolan yang terlampau berkuasa itu pula didominasi oleh seorang atau beberapa orang yang terlalu berkuasa. Inilah pendapat Arnold Toynbee dan Daisaku Ikeda. Tetapi di Malaysia keadaan ini tidak berlaku. Sebabnya demokrasi kita diimbangi oleh kuasa raja dan kuasa perlembagaan.

Perlembagaan dimaktubkan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam pentadbiran Malaysia, tidak ada yang boleh mengatasi perlembagaan sekalipun ia seorang raja atau Perdana Menteri. Satu lagi kita mengamalkan dasar pengagihan kuasa antara keadilan, perundangan dan pelaksana. Sebaliknya lihat sahaja apa yang berlaku di luar negara. Rusuhan kaum sentiasa berlaku. Satu bangsa mencurigai satu bangsa yang lain. Puak minoriti selalu berasa terancam di bawah majoriti yang berkuasa. Tetapi ini berbeza dengan negara kita. Formula perkongsian kuasa melalui satu barisan yang kuat ternyata membawa keamanan kepada negara ini.

Perkara sensitif yang termaktub dalam perlembagaan yang dipersetujui bersama dan tidak dibenarkan diungkit-ungkit turut menyumbang kepada keamanan Malaysia sehingga menjadi satu ketakjuban kepada dunia luar bagaimana pemimpin negara ini mengendalikan penduduknya yang berbilang kaum dan berbilang agama dengan jayanya. Amalan tradisi warisan nenek moyang kita iaitu berunding dan bermuafakat merupakan formula yang diamalkan di negara ini. Jika ia melibatkan "masalah keluarga" maka ia diselesaikan dengan penuh bijaksana melalui semangat kekeluargaan. Dalam pemerintahan, kita masih mengekalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan. Sejak kita memilih sistem kerajaan seperti ini sehingga sekarang, ia banyak membantu menyelesaikan masalah-masalah kita. Dalam formula pemerintahan seperti ini, rakyat mewakilkan seseorang yang dipilih melalui pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali, untuk membawa hal mereka. Justeru tuntutan tanpa perwakilan seperti tempikan di jalan-jalan dan rusuhan bukanlah formula yang menjadi amalan dalam demokrasi di Malaysia.

Rakyat mempunyai pelbagai kehendak, dan untuk memenuhi semua kehendak rakyat hampir tidak dapat dicapai, sebab itu rakyat perlu diwakili. Suara rakyat kadang-kadang sedap untuk didengar, tetapi bukan semua yang didengar harus dipatuhi. Apa yang menarik di Malaysia, seseorang itu tidak perlu bertempik dan mengangkat suara untuk menyatakan kebenaran. Apatah lagi berdemonstrasi di jalan-jalan dan gah menunjukkan bahawa kumpulan mereka adalah kuat. Jika seseorang pemimpin membenarkan dirinya diperalatkan oleh tuntutan jalanan seperti itu petanda hilangnya kewibawaan mereka. Dan akibatnya hanya akan membiasakan seseorang itu membuat tuntutan melalui jalanan sebab mereka melihat pemimpin akan mendengar rintihan mereka dengan cara itu.

Jika ini berterusan terjadi bukan sahaja menggambarkan kepimpinan yang lemah, malahan wakil rakyat juga akan hilang kredebilitinya.

Md Yusof Alias (usop.com.my)

Tiada ulasan: