Selasa, 25 November 2008

RUANGAN SUKAN MENURUT KACAMATA PAKAR - ( Oleh K-Cheng )

Dengan berakhirnya cita-cita rakyat Malaysia untuk melihat sekurang-kurangnya skuad bola sepak Malaysia memberikan cabaran untuk layak ke Piala Dunia baru-baru ini, sekali lagi kita diajak untuk berfikir mengenai realiti bola sepak di negara kita. Di manakah puncanya prestasi skuad negara dari hari ke hari semakin merudum? Negara-negara lain yang suatu masa dahulu kecut dengan kejaguhan skuad kita, semakin lama semakin jauh meninggalkan Malaysia terutamanya dari segi ranking. Skuad negara kita kini berada di kedudukan ke 166 dunia dengan jumlah kedudukan keseluruhan ialah sebanyak 200. Bermakna kita hanya tinggal 34 tempat sahaja lagi untuk menghuni tempat tercorot dalam ‘ranking dunia’.

Dengan berlakunya perubahan tampuk pimpinan FAM(Malaysia Football Association) baru-baru ini, kelibat muka baru iaitu Khairy Jamaluddin berjaya memegang jawatan Timbalan Presiden FAM. Selaku seorang ahli politik yang mula terkenal kerana program MyTeam, Khairy dilihat mempunyai bakat dan kepimpinan untuk menaikkan semula martabat bola sepak Malaysia di mata dunia. Permulaan bagi Khairy agak memberangsangkan dengan skuad bawah 23 tahun Malaysia berjaya menjuarai Piala Merdeka. Namun pada tahun ini kita sekadar berada di posisi Naib Juara pada kejohanan yang sama. Pada ketika ini, rakyat Malaysia seakan diberi sedikit harapan untuk terus percaya yang skuad bola sepak negara akan kembali bangkit. Namun begitu ternyata kemenangan pada Kejohanan Piala Merdeka tidak dapat dilihat sebagai satu tanda kebangkitan apabila Malaysia tewas mudah kepada Bahrain dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.

Di manakah sebenarnya silap bola sepak negara kita? Adakah dari segi pentadbiran? Ataupun dari segi komitmen pemain-pemain kebangsaan kita sendiri? Mungkinkah jurulatih skuad negara yang sering bertukar ganti selama ini tidak cukup bagus untuk membawa kita selangkah lebih baik? Adakah kerana kurangnya sokongan daripada rakyat Malaysia sendiri?

Kita mampu untuk menunding jari menyalahkan orang lain atas permasalahan yang menimpa skuad Harimau Malaya ini. Rakyat menyalah pemain yang kurang komitmen, pemain menyalahkan jurulatih yang kurang berkemampuan dan pihak pengurusan pula menyalahkan rakyat yang tidak memberi sokongan kepada skuad negara. Selagi kita tidak berganding bahu serta berhenti menyalahkan sesama sendiri selagi itulah skuad bola sepak Malaysia akan berada di takuk ini.

Selagi ada kemahuan selagi itu ada jalan. Marilah kita sama-sama mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia. Bagaiamana caranya? Sama-samalah kita fikirkan. Majulah bola sepak untuk negara.

Kamarozaman Yaacob ( K – C h e n g )

1 ulasan:

UzaiR Rusli berkata...

Orang Malaysia cepat sangat melatah. Agaknya dah memang budaya melayu begitu. Baru menang sikit, berbakul-bakul pujian. Bila kalah, berbakul-bakul jugak lah kena kutuk. Semuanya mereka nak cepat lihat hasil. Ahli sukan bukan robot. Pembangunan sukan perlu menyeluruh, tak kira lah dari segi pengurusan hinggalah kepada tukang urutnya. Setiap tahun hantar atlet ke luar negara, tapi kenapa tidak dihantar mereka yang lain yang terlibat dalam sukan? Takkan nak jadi jaguh kampung jek. Kena world class lah.